Thursday, August 15, 2013

Tuntutan Felcra terhadap peserta ditolak

Mahkamah Majistret Lenggong semalam menolak dengan kos tuntutan berkenaan saman kos pembangunan oleh Felcra Bhd terhadap Pengerusi Badan Bertindak Peneroka Felcra (Bapa), Razman Zakaria. 

Razman yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak telah disaman oleh Felcra Bhd selaku wakil diri kepada arwah bapanya, Zakaria bin Awang Kechik dan ibunya, Naimah binti Ahmad. 

Selain itu, mahkamah juga turut membenarkan tuntutan balas Razman dan ibunya terhadap Felcra berkenaan wang tabung tanam semula yang tidak dikembalikan oleh Felcra. 

Turut dibenarkan adalah tuntutan balas untuk ganti rugi berkenaan tindakan Felcra yg telah mengambil hasil di tanah milik bapa dan ibu Razman dari tarikh 1 Januari 2011 hingga 30 April 2011 tanpa kebenaran pada kadar satu tan per-ekar mengikut harga Malaysian Palm Oil Board (MPOB) pada masa berkenaan.

Ketika mengumumkan keputusan tersebut, Majistret, Akhiruddin @ Boy bin Acho tidak memberikan butiran alasan penghakiman namun beliau menyatakan ianya akan dikeluarkan kelak.

Peguam mewakili Razman, Mohamad Zamri Ibrahim (gambar) ketika dihubungi berkata, di antara hujah defendan iaitu Razman dan ibunya ialah perjanjian oleh Felcra adalah tidak sah kerana tiada kepastian berhubung tempoh masa perjanjian, cara pembayaran serta amaun hutang yang perlu dijelaskan oleh defendan.

"Ianya adalah bertentangan dengan seksyen 30 Akta Kontrak 1950.

"Defendan juga membawa pembelaan had masa iaitu tindakan Felcra menuntut terhadap Defendan adalah diluar dari tempoh masa yang dibenarkan oleh undang-undang.

"Ia mengambil kira tempoh perjanjian adalah 15 tahun dan berdasarkan terma perjanjian, ianya bermula 1 Januari 1988 dan tamat mulai 01 Januari 2004," jelasnya.

Berkenaan tuntutan balas defendan, beliau yang juga Pengarah Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) PAS Perak menjelaskan, hujah yang dibuat oleh defendan ialah wang tabung tanam semula adalah milik defendan. 

Katanya, oleh yang demikian, ianya perlu dikembalikan kepada defendan dan Felcra tidak boleh memotong wang tersebut untuk tujuan selain penanaman semula kelapa sawit.

Ketika ditanya berkenaan ganti rugi terhadap tindakan Felcra mengambil hasil tanah defendan, pihak defendan telah menghujahkan bahawa hasil di sepanjang tempoh tersebut adalah milik defendan dan perlu dikembalikan oleh Felcra.

Dalam pasa itu, Razman ketika dihubungi melahirkan rasa syukur dengan keputusan yang telah dibuat oleh majistret itu.

Katanya, perjuangan beliau bersama ibu dan arwah bapanya itu akhirnya menghasilkan kejayaan kepada mereka.

"Inilah harapan baru kepada peserta Felcra unt membebaskan daripada cengkaman Felcra.

"Saya menyeru kepada peserta Felcra agar mendesak pihak felcra mengembalikan hak mereka khususnya kepada perjanjian yg telah melebihi 15 tahun. 

"Mereka juga wajar menyemak kos pengurusan berlebihan yang tidak sepayutnya dikenakan kepada peserta," jelasnya lagi.

4 comments:

Advertise