Friday, August 30, 2013

PAS gesa Perak bina bangunan maahad tahfiz

IPOH: Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussien menggesa kerajaan negeri mengambil perhatian terhadap perkara berkaitan institusi agama Islam.

Sehubungan itu, katanya kerajaan mestilah peka terhadap guru-guru bertauliah yang dipinggirkan apabila hanya diberikan elaun sebanyak RM400 sahaja setiap tahun.

Nilai elaun yang diberikan itu, katanya tidak setimpal dengan kos kehidupan sekarang dan seharusnya kerajaan mengambil satu inisiatif kepada mereka dengan menaikkan elaun kepada yang lebih setimpal.

Adun Titi Serong itu turut mengharapkan kerajaan menyegerakan pembinaan maahad tahfiz negeri yang sehingga hari ini belum ada bangunan sendiri.

"Hampir 20 tahun maahad ini tidak mendapat keistimewaan apabila terpaksa menumpang dari satu tempat ke satu tempat untuk menjalankan proses pembelajaran.

"Saya menggesa kerajaan menyegerakan pembangunan Maahad Tahfiz agar dapat menjalankan pembelajaran di bangunan sendiri dan lebih ramai lagi dapat menyambung pelajaran," ujarnya ketika ditemui di lobi Dewan Undangan Negeri Perak, semalam.

Beliau juga berkata, pembangunan negeri akan terencat dan rosak apabila ia diuruskan oleh individu yang tidak berakhlak serta mempunyai agenda tersendiri dalam memegang kuasa.

"Saya tekankan bahawa semua Adun harus menjadi orang yang ikhlas untuk membina negeri serta membantu rakyat, bukan mengambil kesempatan di atas ruang yang ada kepada mereka," tegasnya.

3 comments:

Advertise