Monday, August 26, 2013

Mangsa ISA kekal dalam tahanan, suspek kes profil tinggi bebas

Mangsa ISA kekal dalam tahanan, suspek kes profil tinggi bebas

IPOH: Sistem pihak keselamatan, kehakiman, pengadilan dan politik negara ini kian diragui dan semakin muak untuk diulas oleh rakyat. 

AJK Lajnah Penerangan dan Dakwah PAS Perak, Nuruddin Bashah berkata, rakyat yang cakna isu kebebasan dan hak asasi manusia yang sekian dekad melawan akta kejam ISA telah dipermainkan emosi oleh pemimpin negara.

Menurutnya, sejurus selepas Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak mengumumkan untuk menghapuskan ISA, media pro kerajaan mula memalu gendang kononnya Najib adalah seorang yang demokratik dan sudah sampai masanya Malayia melangkah ke era baru sedangkan BN yang mengusai Parlimen itu patut memansuhkan ISA lebih awal lagi.

"Ternyata ia suatu tindakan berpura-pura, hipokrit dan sebenarnya merancang untuk menipu rakyat.

"Buktinya? Kini rakyat dimain-mainkan apabila janji Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang sebelum ini mahu mengumumkan berita baik kepada keluarga tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) menjelang Hari Raya Aidilfitri hanya retorik.

"Sehingga hari ini masih  tiada sebarang tanda-tanda bahawa kerajaan mahu membebaskan tahanan yang masih kabur kesalahan mereka, sebaliknya dilihat hanya mengguris sensitviti tahanan dan keluarga dengan hanya memberikan janji palsu," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menjelaskan, skrip BN telah lama diketahui ramai sebelum Mahkamah Rayuan membebaskan ketua inspektor Azilah Hadri dan bekas korperal Sirul Azhar Umar daripada pertuduhan membunuh Altantuya.

"Rakyat tahu polis berkenaan hanyalah pak sanggup, mangsa keadaan oleh pihak-pihak pihak yang tertentu.

"Kes yang berprofil tinggi sebegini gagal diselesaikan melalui pembuktian polis, mahkamah sivil ciptaan manusia dan seolah-olah kes buntu yang tiada penyelesaian," katanya lagi.

Nuruddin menyatakan, Keputusan 'mantap' dan 'pantas' polis menahan selama bertahun-tahun mangsa ISA yang kebanyakannya ditahan atas alasan politik dan bukannya mengancam keselamatan negara.

Ianya katanya sangat berbeza dengan cara pihak berkuasa membicarakan kes pembunuhan Altantuya.

"Sentimen kes Altantuya tidak lagi memberi bekas dihati rakyat Malaysia kerana kelihatannya BN berjaya mengheret keluar kes ini daripada persoalan politik dan dianggap tiada kaitan dengan kepimpinan negara langsung. 

"Usaha kempen BN ini semakin berjaya, rakyat kian malap dan kelam dalam memahami isu ini. Maka tinggalkan ayah dan keluarga Altantuya mengadu mengelap air mata dan kembali meraung dan  merintih nasib anak mereka yang tiada pembelaan," jelasnya lagi.

4 comments:

Advertise