IPOH: PAS Negeri Perak masih mengharapkan pelaburan sebanyak RM42 Juta bagi menaiktaraf Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) baru-baru ini tidak akan disia-siakan begitu saja oleh Kerajaan Negeri Perak.
Ketua Peneranganya, Dr Ahmad Nuri Al- Amin (gambar kecil) berkata, LTSAS Ipoh yang dirasmikan oleh Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah itu masih dilihat tidak banyak berubah di dalam memberikan perkhidmatan udara yang berkesan kepada penduduk negeri ini.
Kata beliau, jika 10 tahun lalu, LTSAS dilihat lengang kerana keadaan prasarana dan landasan yang tidak menarik bagi membolehkan syarikat-syarikat penerbangan melakukan pendaratan, namun keadaan ini telah berubah dengan pembaikpulihan pada peralatan yang serba moden dan landasan yang lebih panjang.
"Perlu diingat bahawa kegagalan untuk menarik syarikat-syarikat penerbangan untuk menjadikan Ipoh sebagai destinasi penerbangan mereka pasti akan membantut peranan utama LTSAS dalam memangkin pembangunan sektor pengangkutan udara demi merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri terutama dalam bidang perlancongan.
Ustaz Nuri menjelaskan, jika ianya tidak diuruskan dengan baik maka perbelanjaan kos sebanyak RM 42 Juta untuk menaiktaraf LTSAS akan menjadi satu lagi bentuk pembaziran Kerajaan Negeri Perak sebagai projek ‘Gajah Putih’ yang indah di mata pemimpin tetapi tiada bermanafaat pada rakyat.
Tegasnya, rakyat sedang menunggu dan memerhatikan perancangan Kerajaan Negeri Perak untuk merencana keaktifan kembali LTSAS yang sudah lama sunyi di Bandar Raya Ipoh selama ini.
0 comments:
Post a Comment