Friday, July 12, 2013

PAS Parit Buntar peruntukkan RM16 ribu kepada masjid dan surau

PARIT BUNTAR : Pas Kawasan Parit Buntar memperuntukkan sejumlah RM 16,000 kepada semua masjid dan surau di dalam kawasan itu bagi melaksanakan program Ihya Ramadan pada tahun ini.

Majlis penyampaian sumbangan kepada masjid dan surau tersebut telah diadakan dalam satu majlis di Masjid Mahyuddin Batu Lima, 7 Julai lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Infaq Ramadan Abdul Bahrain Desa berkata, sumbangan itu melibatkan kira-kira 27 buah masjid dan 110 buah surau.

"Sumbangan kepada masjid dan surau ini adalah antara salah satu program Infaq Ramadhan yang dianjurkan oleh PAS kawasan dengan kerjasama Pusat Khidmat Parlimen Parit Buntar serta DUN Titi Serong.

"Program seperti ini telah dijalankan setiap tahun hasil daripada sumbangan serta kerjasama daripada pelbagai pihak," katanya.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Parit Buntar,Dato'Dr Mujahid Yusof Rawa dalam ucapannya pada majlis tersebut menggesa supaya masjid dan surau di kawasan itu diimarahkan dengan penganjuran pelbagai program bagi mendekatkan masyarakat kepada program-program keagamaan dalam bulan yang mulia ini.

Beliau meminta supaya pintu masjid dan surau dibuka seluas-luasnya agar umat Islam dapat melakukan ibadat di rumah Allah ini.

"Jadikan masjid dan surau sebagai pusat tumpuan ibadah sepanjang Ramadhan ini. 

"Galakkan kaum keluarga seramai mungkin mengunjungi rumah Allah ini untuk berbuka puasa, solat tarawih, bertadarus, berzikir dan bermunajat kepada Allah SWT.

"Jangan sempitkan ruang masjid hanya untuk bersolat sahaja sebaliknya banyak ibadah yang boleh dilakukan sepanjang Ramadan ini." jelas Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu.

Dalam majlis itu juga, PAS turut menyerahkan takwim dan buletin Ramadan untuk diedarkan kepada qariah.

Hadis sama ialah Adun Titi Serong Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain, Yang Dipertua Pas Parit Buntar, Ustaz Harun Hashim dan Adun Kuala Kurau, Abdul Yunus Jamhari.

4 comments:

Advertise