Tuesday, June 4, 2013

Terima keputusan tetapi tidak redha penipuan PRU



IPOH: Dewan Pemuda PAS Negeri Perak menerima keputusan PRU 13 sebagai takdir Allah tetapi tidak bermakna meredhai penipuan pilihanraya yang berlaku.

Demikian kata  Ustaz Mohd Zawawi bin Abu Hassan (gambar), Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunong Semanggol yang merupakan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.

Beliau mengulas kenyataan rasmi Tuan Guru Nik Aziz yang juga merupakan mantan Menteri Besar Kelantan di Harakahdaily.net bertarikh 3 Jun 2013.

Dalam kenyataan itu, Tuan Guru Nik Aziz menyatakan bahawa Datuk Seri Najib telah membuktikan SPR sangat pincang.

"Sehubungan dengan itu, Dewan Pemuda PAS Negeri Perak menyatakan sokongan padu dan tidak berbelah-bahagi (kepada Tg Nik Aziz)," katanya.

Bagi beliau, kepincangan SPR boleh mengakibatkan kredibiliti kerajaan yang mentadbir dipersoalkan dan ketelusan SPR akan sentiasa dicanang sebagai kurang berintegriti melaksanakan tugas yang diberikan.

Siri penipuan yang dibongkarkan mampu melahirkan ketidakpercayaan rakyat kepada SPR dan menjadikannya tidak berkelayakan sebagai satu badan yang bertujuan memastikan ketelusan perjalanan proses pilihanraya, katanya.

Setiap kepincangan dan krisis yang berlaku dalam SPR perlu diberikan penjelasan kepada rakyat dan secara tidak langsung dapat mengurangkan aktiviti perhimpunan rakyat yang memperjuangkan keadilan, tegas beliau.

Setelah 13 kali PRU berlangsung Kerajaan Barisan Nasional seolah-olah baru menyedari bahawa SPR gagal mempamerkan peningkatan budaya kerja yang efektif dan sistematik.

PAS sebagai gerakan dakwah dan politik akan sentiasa komited memastikan konsep Islam diaplikasikan di dalam seluruh sistem pentadbiran negara, katanya.

0 comments:

Advertise