PAS Negeri Perak melihat
cadangan Pengerusi BN, Dato' Seri Haji Najib Tun Razak
untuk menubuhkan satu Jawatankuasa Khas di bawah Parlimen bagi memantau Suruhanjaya Pilihan Raya
Malaysia (SPR) telah secara langsung mengakui kelemahan badan tersebut dalam
menjalankan tanggungjawab dan amanah bagi mengendalikan sistem pilihan raya di
Malaysia.
“Malah
tindakan BN untuk memfailkan petisyen untuk lebih 50 kerusi Parlimen dan Dewan
Undangan Negeri (DUN) juga dilihat secara terangan sebagai satu bentuk protes
dan bantahan terhadap kredibiliti SPR dalam menguruskan proses pilihanraya yang
adil dan telus,” kata Ketua Penerangan PAS Perak, Dr Ahmad Nuri Al-Amin dalam
satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, BN Perak
adalah antara yang paling awal meragui ketelusan jentera SPR apabila
Pengerusinya, Dato’ Seri Dr Zambry Abd Kadir telah mengesahkan bahawa akan
menfailkan petisyen mencabar keputusan PRU13 seawal 23 Mei lagi.
Kata Ustaz
Nuri, ianya jelas menunjukkan bahawa BN Perak turut meragui peranan SPR dalam
mengendalikan pilihanraya yang lalu.
BN Perak juga katanya
secara tidak langsung bersetuju dengan PAS dan Pakatan Rakyat mencabar keputusan PRU13 di mahkamah apabila
berlakunya pelbagai keraguan dan ketidakadilan.
“BN Perak secara tidak
langsung percaya bahawa keputusan PRU13 yang lalu tidak 'tepat' dan sewajarnya
dicabar sepertimana yang diperuntukan oleh Perlembagaan Malaysia.
“Ianya juga
membuktikan kegagalan SPR menjalankan tugas sewajarnya yang selama ini menjadi
pertikaian banyak pihak di atas ketelusan dan kemampuannya sehinggakan ramai
yang mendesak agar diwujudkan satu Suruhanjaya DiRaja bagi mengkaji peranan dan
kebolehpercayaan SPR untuk mengendalikan pilihanraya yang akan datang,”
tegasnya lagi.
0 comments:
Post a Comment