Friday, June 14, 2013

Radzi Zainon Giant Killer!

Pengorbanan besar Radzi Zainon menghasilkan kejayaan PAS
 
Catatan Muhammad Faeez Azahar
 
Nama Radzi Zainon tiba-tiba menjadi buah mulut masyarakat di seluruh Negara khususnya di Perak. Ini disebabkan kejayaan beliau menumpaskan calon ‘samseng’ BN iaitu Dato’ Hamidah Osman di Dun Sungai Rapat dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang lalu.
 
Kejayaan menumbangkan Hamidah yang dikenali dengan sifat sombong dan angkuhnya ternyata mengembirakan masyarakat yang sudah muak dengannnya.
 
Malah, Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Dato’ Seri Nizar Jamaluddin beranggapan, kekalahan Hamidah di Dun Sungai Rapat memberi sedikit sinar kegembiraan tatkala Pakatan Rakyat gagal mengembalikan kemenangan di Perak.
 
Radzi Zainon, seorang yang berkelayakan Ijazah Sarjana Sains serta Sarjana Muda Kejuruteraan ini dilahirkan di Anak Bukit, Alor Setar Kedah dan telah menetap di Sungai Rapat hampir 20 tahun.
 
Beliau diberi amanah untuk bertanding pada PRU12 lalu tetapi tewas dengan majoriti 636 undi namun Radzi berjaya mengurangkan majoriti dengan sangat mendadak sekali gus memecahkan tembok kekebalan BN di Dun Sungai Rapat.
 
Walaupun tewas, beliau meneruskan khidmat baktinya kepada masyarakat di Dun itu tidak berbelah bahagi. Beliau yang dipanggil “Ustaz Radzi” oleh masyarakat tempatan sanggup meninggalkan kehidupan mewahnya untuk bergiat memperjuangkan nasib masyarakat di atas medan perjuangan Islam yang diperjuangkan oleh PAS.
 
Beliau bekerja sepenuh masa membantu masyarakat disamping membuka perniagaan bagi menampung kehidupannya. Ustaz Radzi sering turun padang menyantuni masyarakat disamping menyampaikan bantuan jika ada dana yang diterima oleh mana-mana pihak terutama ahli PAS.
 
Perwatakannya yang mesra dan mudah didekati oleh pelbagai lapisan ternyata disenangi rakyat. Ustaz Radzi tidak pernah jemu berkhidmat kepada masyarakat tatkala belum diberikan amanah untuk menjadi wakil rakyat ketika itu.
 
Bekas pensyarah ini berhati terbuka mendengar rintihan masyarakat yang masih ramai tidak terbela. Tidak kurang juga yang meminta pelbagai bantuan namun Ustaz Radzi berusaha untuk merealisasikan permintaan masyarakat walaupun tiada dana.
 
“Saya rasa bersalah jika tidak dapat melaksanakan permintaan oleh rakyat terutama yang sangat memerlukan,” ujar Ustaz Radzi kepada saya, kebetulan saya menetap di Dun yang ditandinginya dan kerap mengikuti program beliau tatkala saya tidak sibuk serta tiada urusan.
 
Pengorbanan besarnya ternyata membuahkan hasil apabila beliau berjaya memenangi Dun Sungai Rapat pada PRU13 dengan majoriti agak besar iaitu 2638 undi. Ustaz Radzi mendapat sokongan besar daripada masyarakat bukan Islam terutama kaum Tionghua. Sokongan orang Melayu terhadapnya turut meningkat seterusnya memastikan kemenangan selesa PAS di situ.
 
Ustaz Radzi berjaya memberi kemenangan sulung kepada PAS di Dun Sungai Rapat dan daripada itu beliau bertekad untuk menjadikan Dun itu sebagai kubu kuat PAS.
 
Ustaz Radzi tidak menunggu masa lama untuk berkhidmat, keesokan selepas keputusan PRU13, beliau terus memulakan tugasnya sebagai wakil rakyat. Beliau telah turun menyantuni rakyat dan mendengar permasalahan rakyat disamping menghadiri undangan perkahwinan oleh masyarakat.
 
Reaksi yang diterima sangat positif malahan masyarakat turut bersama-sama meraikan kejayaannya seolah-olah Pakatan Rakyat telah berjaya memerintah di Perak dan persekutuan.
 
Walaupun baru menjadi wakil rakyat dalam masa singkat, namun beliau ditaburi pelbagai pujian apabila khidmatnya sangat disenangi rakyat. Rakyat sangat mudah untuk bertemu dengannya bagi mendapatkan tandangan sokongan, membuat aduan dan sebagainya.
 
“Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada jentera PAS dan Pakatan Rakyat yang bersabar siang dan malam, menjaga emosi dan adab sepanjang berkempen.
 
“Kepada jentera ulama’ pemuda dan muslimat, anak muda dan golongan professional dan tenokrat yang membantu secara langsung atau tidak langsung, pihak PAS Kawasan Batu Gajah dan PAS Kawasan Ipoh Timur yang bersama-sama membantu PAS Kawasan Gopeng tanpa mengira lelah dan keringat untuk membantu menjayakan agenda mengislah DUN Sungai rapat kali ini saya ungkapkan jutaan penghargaan,” jelas ustaz Radzi ketika saya menemu ramahnya selepas keputusan PRU13 dulu.
 
Bekas Ahli Majlis Bandaraya Ipoh itu sangat terharu dengan pengorbanan jentera di semua peringat walaupun mengharungi pelbagai dugaan dan cabaran sama ada dalaman (rohani) dan luaran (jasmani).
  
Ketika menemui beliau, Ustaz Radzi memetik Surah al Maidah ayat pertama yang bermaksud Wahai orang-orang beriman tunaikanlah janji-janji.
 
Ayat ini kata beliau khusus arahan oleh Allah untuk kaum beriman. “Dan sebagai orang beriman saya akan melaksanakan agenda kebajikan, keadilan dan pembangunan rohani, spiritual dan infrastruktur berasaskan etika dan kelestarian sosial yang sihat bukan untuk diungkit menjelang pilihanraya semata-mata.
 
“Ia adalah tanggungjawab yang diamanahkan dan saya akan melaksanakannya dengan baik Insya Allah. Percayalah saya adalah wakil rakyat bagi semua kaum dan agama, saya adalah wakil anda samada penyokong mahupun bukan pengundi saya. Inilah tekad saya,”ujar Radzi yang turut berkemahiran dalam ilmu agama.
 
Tegasnya. beliau berazam akan menjalankan amanah dan menggenggam janji itu untuk dilaksanakan kerana Allah.
 
"Kita akan terus berkhidmat. Saya minta rakyat bergerak bersama saya dalam keadaan kita mentaati Allah dan takut akan azabNya,”jelasnya lagi.

1 comments:

Kalau yb2 dr bn mmpunyai sikap seperti ustaz Radhi ni saya rasa takda sebabnya rakyat menolak bn dan inginkn perubahan.

Advertise