Wednesday, June 12, 2013

Petisyen: PAS Perak mohon doa rakyat

PAS Negeri Perak meminta seluruh ahli PAS di negeri itu untuk mengadakan majlis solat sajat dan mendoakan kejayaan petisyen yang telah difailkan bagi membantah keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada 5 Mei yang lalu.

PAS Perak telah mengemukakan sebanyak enam Petisyen melibatkan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Pasir Panjang, Manjoi, Lubok Merbau, Selama, Manong dan Rungkup.

“Dengan usaha ini diharapkan akan dapat memberi ruang dan harapan kepada rakyat untuk merubah kedudukan keputusan PRU 13 yang lalu,” kata Ketua Penerangan PAS Perak, Dr Ahmad Nuri Al-Amin.

Beliau menjelaskan, petisyen ini juga memberikan peluang pada kita untuk mendedah serta membuktikan pelbagai bentuk penipuan dan rasuah yang dilakukan oleh BN yang membolehkan mereka menang tipis tanpa sokongan majoriti rakyat Perak.

PAS Perak katanya berkeyakinan tinggi bahawa Petisyen yang telah dikemukakan ini secara langsung akan memberikan impak kepada keputusan pilihanraya yang lepas sama ada akan berlakunya perubahan dalam pemerintahan kerajaan negeri atau tidak.

“Sudah tentu ianya bukan sahaja mendapat perhatian di dalam negara bahkan di seluruh dunia oleh kerana Negeri Perak pernah mencatatkan sejarah hitam pada tahun 2009 yang lalu.

“Kami juga mengharapkan doa dan sokongan rakyat yang menyokong Pakatan Rakyat agar petisyen yang akan dibicarakan akan berpihak kepada PAS dan Pakatan Rakyat,” katanya.

Ustaz Nuri menjelaskan, petisyen ini juga adalah ruang 'menyanggah' keangkuhan BN di Perak yang enggan menerima hakikat bahawa pola sokongan rakyat Perak terhadap mereka adalah sangat rendah.

“Kami yakin bahawa doa dan sokongan rakyat tentunya nanti akan membuahkan hasil yang akan berpihak kepada PAS dan Pakatan Rakyat.


“Kami menyeru agar tingkatkan doa agar kejayaan akan merubah lanskap politik Perak kembali!,” tegasnya.

0 comments:

Advertise