Wednesday, June 12, 2013

Petisyen berkait kesalahan pilihan raya, daftar diragui

PAS Perak yakin mereka akan memperoleh kemenangan ke atas enam petisyen PRU13 yang difailkan di Mahkamah Tinggi Ipoh kerana mempunyai bukti-bukti yang kukuh.

Menurut Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak Misbahul Munir Masduki (gambar) selain bukti-bukti kukuh yang ada, kewibawaan barisan peguam yang berpengalaman dalam kes seperti ini akan akan memberi peluang untuk PAS menang.

Ketika dihubungi beliau berkata, seramai 22 peguam akan bergabung tenaga untuk mengendalikan petisyen khususnya di Perak.

"22 mereka ini dari ketiga-tiga parti PAS, DAP dan PKR dan kita yakin dengan kewibawaan mereka kerana mempunyai pengalaman dalam memfailkan petisyen," katanya.

Bagaimanapun beliau enggan memberi butiran lanjut berhubung kandungan petisyen yang difailkan itu dan secara kasar ianya melibatkan dua perkara iaitu pelanggaran akta kesalahan pilihan raya dan mempertikaikan daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang diragui.

Katanya, pelanggaran akta termasuklah kesalahan rasuah seperti memberi wang kepada pengundi, namun perkara itu akan diketahui detil dalam mahkamah nanti.

PAS Perak memfailkan tiga lagi petisyen hari ini di Mahkamah Tinggi Ipoh yang melibatkan keputusan PRU13 bagi Dun Selama, Rungkup dan Menong melalui Tetuan Amin Partner dan Chan & Assosited.

Semalam PAS Perak telah mengemukakan sebanyak tiga Petisyen melibatkan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kawasan Pasir Panjang, Manjoi dan Lubok Merbau.

0 comments:

Advertise