Friday, June 21, 2013

Pemuda PAS kesal kejayaan Qari tidak dihargai

IPOH: Dewan Pemuda PAS Negeri Perak sangat hampa dengan Kerajaan Negeri kerana tidak menghargai sumbangan Qari, Anuar Hasin yang telah mengharumkan nama negeri.

Beliau telah dinobatkan sebagai  Juara di Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan ke-56 di Kelantan, baru-baru ini.

Timbalan Ketuanya, Dr Raja Ahmad Iskandar berkata, kerajaan negeri seharusnya menyampaikan sedikit sumbangan sebagai tanda penghargaan Qari tersebut seperti yang dilakukan oleh kerajaan yang dipimpin oleh Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin suatu ketika dulu.

“Pada 2008 lalu, Mohammad Nizar sebagai menteri besar telah memberikan sumbangan kepada juara Qari dan Qariah ketika itu yang berasal daripada Perak, Shamsul Ariffin Supian dan Sharifah Khasif Fadzilah Syed Mohammad Badiuzzaman berjumlah RM 10,000 seorang atas mengharumkan nama Perak.

“Dan sepatutnya, Datuk Seri Dr Zambry  Kadir turut mengumumkan sumbangan kepada Qari yang telah berjaya tersebut,” katanya.

Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia itu menjelaskan, pihak kerajaan melahirkan kemegahan serta bangga dengan mengumumkan sumbangan bernilai RM 10,000 kepada jurulatih projek Everest-Felda 2013, Zainudin Lot namun imbuhan seperti itu tidak pula diberikan kepada Anuar Hasin yang seharusnya lebih dihargai.

Namun katanya, Pemuda PAS terus mengharapkan pihak kerajaan negeri memberikan pengiktirafan kepada bidang keagamaan dan meneruskan lonjakan kepada mana-mana pihak yang akan mengharumkan nama Perak di masa akan datang kelak.

“Jika pihak kerajaan negeri ‘terlepas pandang’ akan perkara tersebut, ianya masih tidak terlambat lagi bagi memberikan semangat dan galakan.


“Kami akan sentiasa ‘berjiwa besar’ menyokong dan bersetuju jika pihak kerajaan negeri perihatin dan berusaha meningkatkan bidang Keagamaan yang termaktub dalam kuasa kerajaan negeri,” jelasnya lagi.

0 comments:

Advertise