Sunday, June 2, 2013

PAS Perak: Cadangan Polis tidak relevan

IPOH: Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussian menyifatkan, cadangan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar untuk untuk melarang kemasukan motosikal ke sesetengah zon di bandar besar yang akan dikategori sebagai "zon selamat" ialah satu cadangan dilihat tidak relevan untuk dipraktikkan.

Menurutnya, tinjauan pihaknya mendapati, rata-rata rakyat yang ditemui memberikan reaksi kurang senang terhadap cadangan tersebut.

Katanya, sekiranya cadangan itu dilaksanakan. dikhuatiri akan hanya mengundang kesulitan kepada orang ramai meskipun mempunyai pilihan menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam.

“Kerajaan tidak boleh menghadkan penggunaan motosikal di bandar-bandar besar sedangkan pelbagai urusan termasuk kerja seharian dibuat di bandar.

“Ia akan menyukarkan orang ramai terutama mereka yang sememangnya menaiki motosikal untuk melakukan tugas masing-masing,'' katanya.

Adun Titi Serong itu berkata, larangan kemasukan motosikal di bandar-bandar besar tidak boleh diterima pakai kerana ianya dilihat tidak bersesuaian dengan faktor persekitaran dan sistem pembangunan di negara ini.

“Sebagai contoh, di Kuala Lumpur sendiri, jarak dari satu tempat ke satu tempat lain dalam bandar agak jauh, tak kan hendak suruh orang jalan kaki pula.

“Saya yakin jenayah ragut masih akan terus berlaku meskipun langkah melarang motosikal memasuki bandar-bandar besar dilaksanakan,” jelasnya lagi.

Kata Ustaz Abu Bakar, peragut tidak semestinya menggunakan motosikal untuk melakukan jenayah bahkan kemungkinan menggunakan pelbagai cara yang disifatkan sebagai 'kreatif' dan tidak masuk akal untuk mencari mangsanya.

Jenayah kata beliau berlaku di mana-mana dan penjenayah juga sanggup melakukan apa sahaja untuk berbuat jahat.

Beliau turut mempersoalkan adakah pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) gagal membanteras kegiatan jenayah sehingga cuba mewujudkan satu perkara yang tidak adil dan mendiskriminasi sesebuah kelompok.

Justeru beliau menyatakan, terdapat pelbagai cara lain lagi yang boleh dipraktikkan kerajaan bagi membendung jenayah ragut.

Tambah beliau lagi, pengunaan motosikal dilihat relevan di bandar-bandar besar terutama dalam mengatasi masalah kesesakan lalu-lintas selain menjimatkan penggunaan bahan bakar.

“PAS meminta kerajaan dan pihak polis mempertimbangkan semula cadangan tersebut dengan mengambil kira semua aspek termasuk masalah yang akan timbul kelak,” tegasnya.


0 comments:

Advertise