Wednesday, June 26, 2013

PAS fokus aspek kebajikan rakyat-Ustaz Radzi

IPOH: PAS akan menfokuskan untuk memperjuangkan  aspek kebajikan rakyat dalam Persidangan Dewan Undang Negeri (Dun) Perak sesuai dengan slogan PAS iaitu Negara Berkebajikan.

Adun Sungai Rapat, Ustaz Radzi Zainon berkata, PAS akan berusaha untuk memastikan seluruh rakyat di negeri itu akan mendapat keadilan dan kesaksamaan dalam agihan kekayaan negeri.

Kata beliau, kebajikan rakyat secara adil tanpa mengira bangsa dan kaum adalah sangat penting dan ianya adalah satu amanah yang dipertanggungjawabkan kepada kerajaan bagi memastikan seluruh rakyat tidak terpinggir.

Menurutnya, PAS tidak mahu kerajaan hanya mementingkan aspek yang hanya menguntungkan kroni serta kelompok tertentu sahaja.

“PAS mahu polisi yang dibentang sebelum diluluskan nanti adalah mencakupi aspek yang menguntungkan rakyat terutama kebajikan rakyat serta pembangunan modal insan.

“PAS tidak  mahu kerajaan hanya membincangkan perkara-perkara yang tidak mempunyai faedah yang ianya hanya berkisarkan aspek keduniaan sahaja,” katanya.

Beliau berkata, kekuatan pembangkang sangat diperlukan dalam sesebuah pemerintahan termasuklah di negeri itu.

“Mana-mana kerajaan dan forum kepimpinan negara dunia memerlukan pembangkang atau suara alternatif agar sesuatu keputusan itu dilaksanakan secara adil dan tepat.

“Kerajaan yang menafikan suara pembangkang atau menjadikan pembangkang sebagai wakil rakyat kelas kedua serta mendiskriminasikan rakyat di kawasan pembangkang adalah tindakan anti undang-undang manusia yang tidak sihat,” jelasnya lagi.

Tegas Timbalan Yang Dipertua PAS Gopeng itu, politik perlu matang kerana ianya untuk menjamin keamanan dan kesentosaan negeri melalui pengagihan kekayaan yang adil serta penumpuan keperluan rakyat melebihi aspek picisan yang membazir.

Beliau menjelaskan, PAS memandang serius hal persidangan Dun  yang hanya dijadikan medium stamping order (pengesahan arahan) semata-mata tanpa perbahasan yang sihat.
Sidang yang terlalu pendek katanya kadang kala sehingga hanya separuh hari cukup tidak logik dan hanya sesuai untuk negeri kecil seperti Perlis misalannya.

Ruang selama 3 hingga 7 hari adalah optimum untuk perbahasan adil semua Adun Perak seramai 59 itu berucap bagi mewakili rakyat masing-masing,” jelasnya lagi.

0 comments:

Advertise