Tuesday, June 25, 2013

Muslimat PAS Perak anjur Gerhana13 kutuk penipuan PRU13

Dewan Muslimat PAS Perak akan menghimpunkan seluruh ahli dan jenteranya bagi menzahirkan kekecewaan terhadap segala penipuan serta kepincangan yang berlaku dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.

Himpunan yang diberi nama ‘Gerhana13’ itu akan diadakan pada 30 Jun ini di Dataran Fatihah, Padang Rengas bermula jam 8.30 pagi.

Pengarah program, Mazidah Ghazi berkata, himpunan tersebut bertujuan untuk menaikkan semangat jentera agar terus berjuang dan tidak mudah untuk menyerah kalah walaupun menghadapi penipuan yang sangat licik oleh BN serta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Beliau berkata, seluruh ahli dan jentera muslimat akan memberi penerangan berkaitan penipuan dan kepincangan yang berlaku disamping menyampaikan maklumat yang terkini dan benar.

Jelas beliau, ucaptama proram tersebut akan disampaikan oleh Naib Presiden PAS, Datuk Paduka Husam Musa dan turut dihadiri oleh kepimpinan PAS Perak yang diketuai Pesuruhjayanya, Ustaz Abu Bakar Hussien.

“Dewan Muslimat PAS Perak menyedari akan keperluan maklumat berkaitan penipuan serta kepincangan pilihanraya didedahkan kepada rakyat khususnya dikalangan wanita terutama muslimat PAS supaya mereka mempunyai maklumat yang benar dan terkini.

Oleh sebab itu, himpunan ini sangat penting bagi menaikkan semangat juang jentera akan tidak terus berasa kecewa dengan apa yang berlaku dalam PRU13 lalu,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Perak menjelaskan, program ini juga akan menyemarakkan kembali semangat juang di kalangan muslimat bagi mengembling kekuatan untuk menghadapi kemungkinan yang akan berlaku berikutan enam petisyen yang dibuat oleh PAS Perak.

“Kami berkeyakinan bahawa muslimat  sentiasa bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan berkaitan petisyen pilihanraya.


“Kekuatan dan kesungguhan muslimat telah terbukti dalam menghadapi apa jua cabaran dan rintangan,” tegasnya lagi.

0 comments:

Advertise