Friday, May 10, 2013

PAS: Kerajaan BN Perak tidak kukuh


IPOH: PAS Perak menyatakan bahawa majoriti rakyat Perak bersama Pakatan Rakyat biarpun gagal menawan kembali negeri itu dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang lalu.

Ketua Penerangan PAS Perak, Dr Ahmad Nuri berkata, BN Perak perlu mengakui  majoriti rakyat Perak masih lagi menyebelahi Pakatan Rakyat dengan undi popular mencecah 54 peratus berbanding BN yang hanya menerima 44 peratus dari jumlah undi sebanyak 1,160,292.

Menurut beliau, BN secara hakikatnya dalam keadaan sangat tidak seimbang setelah apabila rakyat secara majoriti telah memihak kepada Pakatan Rakyat untuk menubuhkan kerajaan.

Malah katanya, PAS Perak masih dapat mengekalkan sokongan undi popular sebanyak 46 peratus yang diperolehinya dalam PRU 12 walaupun dengan peningkatan jumlah undi sebanyak 33 peratus di  kesemua Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi PAS.

“Angka ini jelas menunjukkan bahawa kemenangan BN pada hakikatnya bukanlah merupakan kemenangan mutlak dan rakyat pada keseluruhannya masih menyandarkan harapan serta sokongan kepada Pakatan Rakyat untuk melakukan perubahan,” katanya.

Mengulas lanjut, Ustaz Nuri menjelaskan, keputusan yang memihak BN kali ini dilihat masih meletakkan mereka dalam keadaan tidak stabil untuk memerintah negeri.

Jelas beliau, sebarang kemungkinan akan berlaku kepada pemerintahan yang penuh goyah itu.

Ustaz Nuri berkata, Perak bagaimanapun katanya mampu menerima kekalahan tersebut mengikut sistem yang terpakai yang penuh dengan kepincangan.

"Atas arahan Pesuruhjaya PAS Negeri Perak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kawasan Titi Serong yang baharu, Haji Abu Bakar Hussien meminta agar seluruh pendokong PAS dan Pakatan Rakyat Perak khasnya agar bertenang dengan keputusan PRU13 kali ini.

"Diminta semua pendokong PAS dan pakatan rakyat menerima arahan daripada pimpinan dari masa kesemasa dengan suasana yang ada sekarang dan jangan bertindak di luar arahan pimpinan. Kita sebenarnya sudah menunjukkan kematangan kita berhadapan dengan keputusan yang telah dibuat pada PRU 13 kali ini," katanya.

Jesteru, katanya PAS Perak berharap agar semua meneruskan kerja-kerja bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap PAS dan Pakatan Rakyat di Perak khasnya.


0 comments:

Advertise