Monday, May 27, 2013

BN Perak kalah undi popuar, hilang sokongan


IPOH: Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar menegaskan, kemenangan BN di Perak bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan.

Katanya, walaupun dengan pelbagai penipuan pilihanraya dan tekanan politik, Pakatan Rakyat masih berjaya memenangi 28 kerusi berbanding dengan BN yang menang 31 kerusi.

Timbalan Pengerusi DAP negeri  menjelaskan, SPR telah sedaya upaya berusaha dan bersekongkol dengan BN untuk memastikan kemenangan di negeri Perak.

Menurutnya, walaupun Pakatan Rakyat berjaya memperolehi undi popular 55% rakyat Perak tetapi kalah dalam bilangan kerusi Dun.

Ini katanya menyebabkan BN menubuhkan kerajaan negeri walaupun hanya mendapat undi 45% pengundi Perak.

Beliau berkata, perkara tersebut membuktikan sesuatu yang tidak kena dengan sistem pilihanraya yang diamalkan di negara ini.

“Walaupun undi lebihan Pakatan Rakyat di Perak adalah lebih daripada 100,000 tetapi ianya tidak diterjemah kepada kemenangan Pakatan Rakyat.

“Ini adalah sesuatu yang perlu diberi perhatian serius. Rakyat Perak telah ditipu dengan strategi yang dihitung dan dicorakkan semata-mata untuk menambahkan jumlah kerusi tanpa mempedulikan hasrat rakyat yang sebenar,” katanya.

Tambahnya, kerajaan BN Perak adalah rapuh dan dibentuk dengan jumlah undi yang terlalu kecil daripada 2 kerusi yang dimenanginya iaitu Lubok Merbau dengan 53 undi dan Manjoi sebanyak 132 undi.

“Jika kita hitungkan  undi kedua-dua kawasan itu ialah 185 sahaja. Ini bermakna Kerajaan BN Perak hari ini dibentuk dengan 185 undi sahaja berbanding dengan undi popular PR yang melebihi 100,000.

“Rakyat Perak telah tertipu apabila BN menubuhkan kerajaan dengan cara yang tidak adil tanpa mendengar suara rakyat majoriti,” jelasnya lagi.


0 comments:

Advertise