Friday, April 5, 2013

Muhaimin Sulam calon Dun Sungai Manik?


LABU KUBONG - Pemuda Pas Kawasan Pasir Salak mengumumkan Yang Dipertua Pas Pasir Salak, Dr Muhaimin Sulamuddin sebagai calon Dun Sungai Manik Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) bersesuaian dengan Deklarasi Pasir Salak pada 2007.

Ketua Pemuda Pasnya, Mohd Syamsul Alauddin berkata, deklarasi berkenaan menyebut bahawa Pas akan bertanding di kerusi Dun Sungai Manik dan tidak melibatkan status quo.

Beliau berkata, tindakan Pemuda Pas Pasir Salak mengumumkan Muhaimin sebagai calon Dun Sungai Manik juga mendapat restu daripada kepimpinan Pas pelbagai peringkat, di sini.

"Dr Muhaimin dilihat sebagai calon boleh menang bagi kerusi Dun Sungai Manik pada PRU13, di samping mempunyai nilai tambahan, iaitu sebagai anak tempatan kawasan berkenaan.

"Pemilihan beliau yang juga Setiausaha Pas Negeri adalah tepat dan kami yakin beliau calon boleh menang berbanding Mustaffa Kamil Ayub yang diletakkan sebagai calon oleh PKR sebelum ini," katanya.

Katanya, Pemuda Pas Kawasan Pasir Salak juga bersedia membantu Muhaimin dalam kempen PRU13 dan mempunyai jentera mencukupi untuk membantu kemenangan PR di peringkat Parlimen Pasir Salak serta Sungai Manik.

Muhaimin yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat pernah bertanding di kerusi Dun Pasir Salak pada 1999 dan 2004 tetapi tidak bertanding pada PRU12 kerana melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Tempatnya digantikan Mustaffa Kamil yang turut bertanding untuk kerusi Parlimen Pasir Salak.

0 comments:

Advertise