Friday, April 26, 2013

Balingan Bom: PAS Perak sedia beri kerjasama


IPOH: PAS Perak mengecam sekeras-kerasnya tindakan pihak-pihak tertentu yang cuba melakukan provokasi dengan melempar dua bom petrol atau 'molotov cocktail' terhadap Bilik Gerakan BN Buntong, kelmarin.

Koordinator Jawatankuasa Strategik dan Isu PAS Perak, Ustaz Fakhrulrazi Mokhtar berkata, tindakan tersebut jelas bertentangan dengan undang-undang di Negara ini.

Menurutnya, PAS kesal dengan tindakan yang tidak bertamadun itu yang dipercayai didalangi pihak-pihak tertentu yang cuba membuat huru-hara dalam tempoh berkempen ini.

“Kami kesal dengan kejadian ini dan berharap pihak berkuasa dapat menyiasat kes ini secepat mungkin bagi mengetahui individu tersebut serta dalang sebenar,” katanya dalam sidang media di Pejabat PAS Perak, dekat sini hari ini.

Hadir sama jawatankuasanya, Salman Saleh dan Safarizal Saleh.

Mengulas lanjut, PAS Perak menafikan sekeras-kerasnya tindakan provokasi itu dilakukan oleh pihak Pakatan Rakyat.

Katanya, PAS sentiasa berpegang teguh dengan prinsip demokrasi serta undang-undang di Negara ini.

PAS katanya percaya kejadian tersebut bermotifkan politik selain mahu mendatangkan ketakutan kepada masyarakat khususnya untuk melakukan sabotaj bagi menjayakan agenda tertentu.

Jelas Fakhrulrazi, PAS Perak sedia memberi kerjasama bagi menyalurkan maklumat tentang kejadian itu bagi membantu polis mencari identiti suspek yang cuba mencemarkan tempoh berkempen pilihanraya ini.

“Kami sedia beri kerjasama untuk membantu pihak polis menyiasat perkara ini dan kami menaruh keyakinan tinggi kepada polis untuk menyelesaikan masalah ini secepat mungkin.

PAS minta ahli parti bertenang dengan suasana ini dan berharap dapat menjaga emosi serta mengikut arahan yang dikeluarkan oleh pimpinan,” jelasnya lagi. 

1 comments:

Semuanya satu lagi lakonan terbaik dari pengarah terbaik filem melayu dunia Malaysia DMDI. Tapi maaf beb,, Srip dan lakon layar nya kurang berkualiti,,,penataan musik nya hampeh,,dan seperti biasa emosi penontonny "flat" dan tak menunjukkan emosi mendalam dan berairmata. Suatu filem yang boleh di katakan kurang impak dan di nasihati agar jangan lagi menonton dan melayan filem ini. Harap PDRM dapat siasat secara mendalam apa motif filem ini.

Advertise