Baik pulih jalan kampung
Penduduk bergotong-royong membaik pulih jalan kampung mereka sambil dibantu Mohd Zawawi (kanan).

BAGAN SERAI - Hasrat membaik pulih Jalan Parit Haji Ismail 2, di sini yang rosak sejak setahun lalu direalisasikan Pas kawasan Bagan Serai menggunakan dana sumbangan Adun Gunung Semanggol, Ramli Tusin dan Pas cawangan Kota Bandung, kelmarin.

Ketua Pemuda Pas kawasan Bagan Serai, Mohd Zawawi Abu Hassan  berkata, kerja-kerja membaik pulih jalan itu dilaksanakan secara bergotong-royong melibatkan pelbagai pihak termasuk penduduk.

Menurutnya, jalan sepanjang lebih sekilometer ini perlu dibaik pulih segera bagi mengelak berlakunya kemalangan akibat laluan berkenaan berlopak-lopak.

“Usaha membaik pulih jalan ini dibuat sementara menunggu peruntukan bagi perlaksanaan kerja menurap jalan itu oleh Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kerian diluluskan,” katanya ketika ditemui di lokasi berkenaan, di sini.

Mohd Zawawi berkata, program gotong-royong melebarkan jalan itu disertai lebih 15 penduduk, jemaah Surau Parit Haji Ismail 2, anggota Unit Amal dan ahli Pas kawasan Bagan Serai.

Jelasnya, kos membaik pulih jalan kampung ini melibatkan hampir RM500 termasuk kos penggunaan jentera berat.

‘Gotong-royong membaik pulih jalan ini dipermudahkan dengan mendapat bantuan jentera mesin yang lain,” katanya.

Mohd Zawawi berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat menyumbang dan bergotong-royong membaik pulih jalan berkenaan.

“Jalan ini adalah laluan yang penting kepada penduduk ke beberapa taman perumahan berdekatan.

“Malah, lebih utama jalan ini turut digunakan oleh pelajar dan guru untuk berulang-alik setiap hari di mana terdapat beberapa sekolah terletak di kawasan berhampiran,” katanya.

Mohd Zawawi turut memohon Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kerian menimbangkan permintaan penduduk untuk menyediakan laluan berpalang di hadapan surau Parit Haji Ismail 2 bagi menjamin keselamatan pengguna terutama pelajar sekolah.