Friday, February 15, 2013

Nama Ramli Sudin tiada dalam senarai ahli PAS


TAIPING: Yang Dipertua PAS Taiping, Ustaz Fakhruddin Abdul Aziz menegaskan individu yang mendakwa dirinya ahli PAS dan mengetuai satu demonstrasi berhubung isu kalimah Allah didapati hanyalah menyamar.

Menurutnya, setelah diselidiki individu yang dikenali sebagai Ramli Sudin, 48, itu sebenarnya bukan ahli PAS Cawangan Aulong.

“Kita telah siasat perkara ini dan Ketua PAS Cawangan Aulong turut memaklumkan bahawa beliau tidak mengetahui tentang demonstrasi tersebut.

“Beliau juga tidak tahu status keahlian Ramli serta beberapa individu yang turut bersama dalam demonstrasi tersebut,” katanya.


Kata beliau, pihaknya menyemak dalam data senarai ahli PAS di cawangan tersebut dan ternyata nama Ramli Sudin tidak wujud.

Beliau yang juga Timbalan Pengarah Pilihanraya PAS Perak percaya demonstrasi tersebut pasti ada dalang disebaliknya yang bertujuan untuk meneruskan kehangatan isu tersebut.

“Kami amat berharap agar pihak berkaitan iaitu BN menghentikan strategi dan taktik yang memalukan ini yang jelas menggambarkan mereka sangat terdesak untuk mendapat sokongan rakyat.

“Saya tegaskan disini PAS Taiping tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan dan memberikan keizinan kepada ahli untuk membuat demonstrasi,” jelasnya.

Pada 12 Februari lalu, beberapa individu yang mengaku sebagai ahli PAS telah membuat demonstrasi berhubung isu kalimah Allah di hadapan Zoo Taiping.

Ramli Sudin yang mengakui dirinya ahli PAS Cawangan Aulong telah mengetui demonstrasi tersebut bersama beberapa remaja yang lain memegang kain rentang menutupi wajah mereka.

0 comments:

Advertise