Monday, February 18, 2013

Muslimat PAS Perak yakin raih sokongan kaum wanita


IPOH: Dewan Muslimat PAS Perak melahirkan keyakinannya untuk meraih sokongan yang tinggi daripada kaum wanita dalam PRU13 nanti.

Ketuanya, Dr Najihatussolehah Ahmad berkata, ini berikutan fenomena masyarakat khususnya wanita yang semakin cenderong untuk membuat perubahan dalam PRU13 nanti.

Katanya, sokongan kaum wanita berperanan besar dalam usaha untuk merealisasikan kemenangan di Perak seperti yang telah dilakukan pada PRU12 yang lalu.

Menurutnya, jentera muslimat telah merencana gerak kerja yang tersusun dan berjaya menembusi kawasan-kawasan tegar Umno seperti di Pasir Salak, Parit, Gerik dan Kuala Kangsar yang majoriti pengundi wanita luar Bandar lebih tinggi daripada di kawasan Bandar.

Jelas beliau, pendekatan Muslimat melalui skuad Muslimat Bersama Rakyat (Erat) telah berjaya mendekati masyarakat di semua peringkat khususnya kaum wanita.

“Jentera muslimat telah telah menjalankan gerak kerja sejak insiden rampasan kuasa pada tahun 2009 dan sudah pasti kami dalam keadaan bersedia untuk menghadapi PRU13 pada bila-bila masa sahaja,” katanya.

Beliau yang juga AJK Muslimat PAS Pusat menjelaskan, melalui kajian dan culaan rambang, 75 peratus wanita yang ditemui telah menyatakan bahawa akan melakukan perubahan dalam PRU13 nanti.

Majoriti daripada itu katanya adalah dalam lingkungan usia 35 hingga 55 tahun yang semakin mendapat maklumat daripada pelbagai sumber.

Kata Najiha, Sekretariat Wanita Pakatan Rakyat Perak yang ditubuhkan seawal tahun 2008 telah menjalankan kerjasama yang sangat kukuh serta erat sehingga hari ini dengan merancang pelbagai aktiviti, strategi dan gerak kerja bersama.

“Pengundi wanita di Perak lebih tinggi daripada lelaki, saya yakin sokongan wanita yang semakin meningkat ini akan memastikan kejayaan Pakatan Rakyat untuk menawan kembali Perak seterusnya mengambil alih pemerintahan di Putrajaya,” jelasnya.

0 comments:

Advertise