GUNUNG SEMANGGOL
- Siapa sangka bekas ketua kampung yang pernah menabur bakti di Kampung
Bukit Merah lebih 20 tahun kini hidup melarat tanpa mendapat perhatian
daripada mana-mana pihak.
Mat Yasin Din,
85, yang mesra dipanggil Pak Anjang kini hidup bergantung sepenuhnya
pada isteri dan anak bongsunya Ahmad Fizaruddin, 41, yang hanya bekerja
sebagai pengawal keselamatan di sebuah syarikat.
Ahmad Fizaruddin (tengah) melihat keadaan ibunya yang juga kurang sihat sambil diperhatikan Mat Yasin (kanan). |
Lebih
mengharukan, Ahmad Fizaruddin berkata, dia nekad untuk terus hidup
membujang selagi kedua ibu bapanya masih hidup. “Saya mahu pastikan
kehidupan ibu bapa saya terurus. “Mereka berdua sudah uzur, siapa lagi
mahu jaga mereka kalau bukan saya,” katanya.
Anak bongsu
daripada sembilan beradik itu berkata, dia sedih melihat akan nasib
ayahnya kini. “Semasa ayah saya menjadi ketua kampung, dia hanya
menerima elaun ketua kampung sebanyak RM300 setahun.
Mana mungkin wang sebanyak itu memberikan kehidupan yang selesa kepada keluarga kami yang mempunyai bilangan ramai.
“Sehingga kini,
keadaan kami adik-beradik hanya sekadar hidup sederhana disebabkan bapa
saya tidak pernah menggunakan pengaruhnya untuk kepentingan peribadi,”
katanya sewaktu ditemui media di rumahnya di Kampung Bukit Merah, di
sini semalam.
Menurutnya,
rumah yang diduduki mereka sejak lebih 50 tahun dahulu kini umpama retak
menanti belah berikutan sebahagian daripadanya rosak teruk.
Tandas usang milik mantan Penghulu sekitar 80'an |
Tandas rumah itu juga terlalu usang dan memerlukan kerja baik pulih segera.
“Sudah banyak
jasa ditaburkan ayah saya kepada sebahagian besar penduduk di sini.
“Namun amat mengecewakan, hanya beberapa individu sahaja yang peduli
dengan nasib ayah apatah lagi hadir melawatnya sejak dia bersara dari
jawatan ketua kampung pada tahun 1985,” katanya. Sementara itu, isteri
Pak Anjang, Siti Aishah Kassim, 73, berkata, keadaan kesihatan suaminya
kini membimbangkan berikutan mengalami penyakit ingatan tak kekal dan
kecederaan usus.
“Sejak suami
saya berhenti kerja di sebuah kilang sepuluh tahun lalu, kehidupan kami
sekeluarga agak sukar memandangkan dia sering jatuh sakit dan pernah
terlantar di hospital disebabkan ususnya pecah. “Justeru, kami
sekeluarga memohon pembelaan dan bantuan daripada pihak berkaitan dan
agensi kerajaan terlibat bagi meringankan penderitaan kami,” katanya.- Sinar Harian
orangni.blogspot.com
0 comments:
Post a Comment