IPOH: Pakatan Rakyat Perak masih menunggu respons daripada menteri
besar, Dato’ Dr Zambry Abdul Kadir tentang jemputan debat yang dianjurkan.
Jurucakap Jawatankuasa Teknikal Debat Darul Ridzuan,
Safarizal Saleh berkata, sehingga hari Pengerusi BN itu belum memberi maklum
balas rasmi kepada pihaknya.
Menurutnya, pihaknya sudah menghantar surat rasmi kepada
Zambry di Pejabat Umno Perak minggu lalu.
Safarizal menjelaskan, pihaknya kesal apabila Zambry hanya
membuat kenyataan keenganannya berdebat di Utusan Malaysia hari ini.
“Zambry tidak professional kerana hanya memberi respon di
akhbar Utusan, sepatutnya membalas surat rasmi yang telah dihantar kepada
beliau,” katanya dalam sidang media di Pejabat PAS Perak, hari
ini.
Beliau yang juga Setiausaha Penerangan PAS Perak menjelaskan,
pihaknya masih mengalu-alukan kesanggupannya untuk hadir ke program tersebut
walaupun beliau sudah membuat kenyataan ketidakhadirannya di akhbar Utusan.
Jelasnya, Zambry
sebagai menteri besar sepatutnya besifat terbuka dan menyahut pelawaan itu kerana
ianya memberi peluang kedua-dua belah pihak untuk menjelaskan segala isu-isu
yang dibangkitkan khususnya di Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak
baru-baru ini.
Katanya, debat secara sihat ini akan menjernihkan segala
persoalan yang belum dijawab termasuklah pemberian projek perhotelan Rumah
Perak di Batu Feringgi dan pemberian kawasan balak kepada 6 syarikat milik
seorang individu berumur 28 tahun.
Debat ini juga katanya akan menjawab segala dakwaan yang dilontarkan
Adun Umno di sidang Dun yang mengatakan Kerajaan Kelantan memberi tanah kepada
Adun DAP Perak untuk melantik Dato’ Seri Nizar Jamaluddin menjadi menteri
besar.
“Zambry sepatutnya berani bersemuka menjawab segala tuduhan
ini dan saya pasti rakyat di negeri ini sangat berharap kehadiran beliau bagi
menjawab segala persoalan,” tegasnya.
Safarizal berkata, Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Dato’
Seri Nizar Jamaluddin dan Pengerusi DAP Perak, Dato’ Ngeh Koo Ham telah
menyatakaan kesediaan untuk berdebat.
Pada 10 Januari lalu, Setiausaha
Pakatan Rakyat Perak, Dato’ Dr Khairuddin Abd Malek melalui satu sidang media
mencabar BN berdebat atas satu pentas berhubung segala pembongkaran oleh PR
dalam Persidangan Dun Perak baru-baru ini yang masih belum lagi terjawab
khususnya berkenaan isu pemberian tanah.
Ia juga berikutan fitnah yang
dilemparkan oleh BN yang mengatakan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’
Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat memberi tanah kepada pimpinan DAP Perak
untuk melantik Dato’ Seri Ir Nizar Jamaluddin menjadi Menteri Besar Perak.
Debat yang diberi nama “Debat Darul
Ridzuan: Nik Aziz Rasuah Ngeh Koo Ham, Zambry Buncitkan Kroni- Siapa Berdusta?”
ini dijadualkan berlangsung pada 23 Januari ini.
0 comments:
Post a Comment