Saturday, December 1, 2012

PR gesa potong gaji MB Perak, Exco jika tak jawab soalan

IPOH – Pakatan Rakyat (PR) mengusulkan pemotongan gaji Menteri Besar Perak dan Exco Kerajaan Negeri sebanyak RM100 bagi setiap soalan yang tidak dijawab pada sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) 17 Disember ini.

Setiausaha DAP, Nga Kor Ming berkata, usul itu dibuat secara sepakat selepas beberapa kali wakil rakyat PR menjadi mangsa apabila soalan lisan tidak dijawab pada sidang Dun.

Menurutnya, apa yang dilakukan kerajaan Barisan Nasional (BN) itu menimbulkan rasa kurang puas hati kerana soalan yang dibangkitkan adalah pertanyaan mewakili rakyat.

“Buat masa ini, kami diberikan notis bahawa persidangan Dun pada 17 Disember ini, tetapi tidak tahu berapa hari.

"Berdasarkan pengalaman lalu, kami pernah bersidang selama tiga jam 40 minit untuk meluluskan bajet sejumlah RM720 juta, ia berbeza dengan Kerajaan Selangor yang mengambil masa 14 hari untuk meluluskan bajet tahun depan,” katanya ketika sidang media, di sini.

Mengulas lanjut, Kor Ming yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Remis berkata, soalan yang tidak dapat dijawab sewajarnya diberikan secara bertulis supaya segala persoalan dapat dirungkaikan.

Langkah itu katanya, bagi memudahkan setiap wakil rakyat memberi penerangan balas kepada rakyat.

“Semua soalan itu adalah berkaitan kepentingan rakyat dan jika tidak dijawab, apa yang kami perlu jawab kepada rakyat.

“Sekiranya pada persidangan terakhir, mereka masih bersikap sama, kami bersepakat untuk membawa perkara ini ke mahkamah supaya menjadi pengajaran kepada mereka... bagaimanapun saya harap ia tidak sampai ke tahap itu,” katanya.

0 comments:

Advertise