Monday, December 3, 2012

PAS Perak buat laporan polis terhadap Shahrizat


IPOH: PAS Perak hari ini membuat laporan Polis berhubung kenyataan Ketua Wanita Umno, Dato’ Seri Shahrizat Jalil di Perhimpunan Agong Umno baru-baru ini yang berbaur hasutan serta perkauman.

Laporan Polis tersebut dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh diketuai oleh Ketua Pemuda PAS Negeri, Ustaz Zawawi Hassan.

Zawawi ketika ditemui berkata, Shahrizat cuba mengugut serta menakutkan rakyat dengan mengatakan kekhuatiran beliau tragedi 13 Mei 1969 akan berulang kembali jika Umno tidak lagi berkuasa.

Menurutnya, dakwaan tersebut sangat merbahaya dan boleh membangkitkan sentimen perkauman serta kacau bilau dikalangan rakyat Malaysia berbilang kaum di Negara ini.

Katanya, rakyat berasa sangat terganggu dengan ucapan tersebut dan berpendapat ianya berniat jahat untuk menakutkan rakyat untuk menyokong Pakatan Rakyat.

“Beliau sengaja mewujudkan rasa takut, rasa tidak selamat, tidak tenteram dikalangan rakyat Malaysia seterusnya  mendatangkan khianat awam kepada ketenteraman masyarakat awam pelbagai kaum di negara Malaysia ini,” katanya selepas membuat laporan polis.

Beliau yang juga Ketua Pemuda PAS Bagan Serai menjelaskan, dakwaan tersebut ternyata tidak berasas dan ianya dapat dibuktikan setelah Pakatan Rakyat dapat memerintah di beberapa buah negeri dalam keadaan yang aman tenteram.

Kata beliau, PAS sentiasa menjunjung prinsip demokrasi dan tidak pernah melanggari prinsip tersebut walaupun sudah 12 kali kalah dalam pilihanraya sejak merdeka.

“Saya menggesa pihak polis memulakan siasatan ke atas beliau dibawah mana-mana peruntukan seksyen 500,503, 504, 505 atau 506 Kanun Keseksaan  mana-mana peruntukan undang-undang lain yang relevan atas alasan mengeluarkan kenyataan jahat yang mendatangkan khianat awam serta mengugat ketenteraman awam.

“Ini bagi mengelakkan berlakunya ketidaktenteraman dan huru-hara di kalangan masyarakat negara ini ekoran kenyataan beliau  tersebut,” tegas beliau lagi.

Hadir sama ialah wakil Dewan Muslimat, Dewan Ulama’ dan daripada Keadilan serta DAP.

0 comments:

Advertise