Tuesday, December 25, 2012

AES di Perak: JPJ tidak daftarkan kes di mahkamah

TAIPING: Perbicaraan kes pertama kesalahan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di Perak pada 24 Disember lalu tidak berlaku ekoran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak mendaftarkan kes tersebut di mahkamah.

Seramai 20 mangsa saman sistem tersebut diminta hadir ke Mahkamah Majistret Taiping, dan hanya lima daripadanya hadir namun dimaklumkan bahawa perbicaraan kes terhadap mereka tidak ada.

Peguam mewakili mangsa, Asmuni Awi berkata, oleh kerana mahkamah mengatakan kes itu tidak didaftarkan bermakna kes itu tidak wujud.

Menurutnya, pihak JPJ sepatutnya memaklumkan lebih awal kepada mangsa saman tersebut agar tidak menimbulkan kesukaran kepada mereka

"Mangsa-mangsa saman yang yang hadir dari jauh seperti Pulau Pinang berasa sangat kecewa dan seolah-olah dipermainkan apabila mengetahui perbicaraan terpaksa dibatalkan.

"Mereka terpaksa menghabiskan wang ringgit, masa dan memohon cuti untuk hadir bicara tetapi mereka kecewa sebaik mendapat makluman daripada mahkamah," katanya ketika ditemui Harakahdaily di luar mahkamah.

Mengulas lanjut, beliau berkata, anak guamannya berasa sangat kecewa dengan sikap pihak kerajaan kerana tidak serius tentang kes tersebut dan ianya menyebabkan mereka semakin marah kepada kerajaan.

AJK PAS Pusat itu menjelaskan, beberapa lagi kes akan dibicarakan minggu hadapan di negeri itu termasuklah di Mahkamah Majistret Slim River dan Mahkamah Majistret Ipoh.

"Kami bagi pihak peguam PAS sentiasa bersedia memberi khidmat guaman kepada mangsa saman AES dan mengajak rakyat terus berjuang menentang sistem ini," tegas beliau.

Hadir sama ialah peguam, Mohd Fitri Asmuni; Yang Dipertua PAS Taiping, Ustaz Fakhruddin Abdul Aziz; Adun Aulong, Yew Tian Ho dan orang ramai bagi memberikan sokongan kepada mangsa saman tersebut.

0 comments:

Advertise