IPOH - Seramai 37 peserta Felcra Nasaruddin Belia, Seri Iskandar
menyatakan hasrat keluar daripada pihak pengurusan setelah Felcra
dikatakan gagal memberi penjelasan terperinci berhubung pembangunan
tanah di kawasan itu.
Pengerusinya, Md Yusof Mat berkata, keputusan untuk mengusahakan sendiri tanah itu dibuat setelah mendapati berlakunya penyelewengan pemberian hak milik tanah dan kos pembangunan tanah oleh Felcra terhadap mereka.
Menurutnya, isu berkenaan timbul apabila peserta mendapati, pembahagian kaedah 55:45 peratus yang diberikan kepada mereka tidak mengikut konsep perjanjian yang termaktub.
“Berdasarkan perjanjian, 55 peratus daripada hasil yang diterima adalah milik peserta dan 45 peratus untuk pengurusan institusi tanah berkenaan.
“Kami agak terkejut apabila setiap potongan termasuk kos operasi dan caj pengurusan dibuat melalui hasil peserta, bukan termasuk dalam 45 peratus milik pengurusan Felcra.
“Keadaan yang berlaku ini agak mengelirukan kerana kaedah pembahagian hasil seumpama itu tidak dinyatakan dalam surat perjanjian,” katanya pada satu sidang media, di sini.
Hadir sama, Pengerusi Lajnah Tanah dan Kemajuan Wilayah Badan Perhubungan Pas Perak, Razman Zakaria.
Sebelum ini, peserta sama sudah mengambil kata putus untuk keluar, namun ia dibatalkan apabila terpaksa akur dengan arahan mahkamah yang mahu mereka mematuhi perjanjian yang termaktub bersama Felcra.
Md Yusof berkata, berikutan kegagalan Felcra mengeluarkan penyata hutang seperti yang dituntut, 37 peserta sama juga pernah mengambil tindakan menjual hasil sawit tanpa melalui pengurusan Felcra selama tiga bulan berturut-turut.
“Hasilnya kami diberikan surat amaran. Demi menuntut keadilan, kami bawa perkara ini ke mahkamah sebelum ia berjaya diselesaikan secara bersama.
“Tetapi apa yang berlaku kini agak mengecewakan, pembahagian hasil yang dilihat lari dari konsep asal seolah-olah mahu ‘menekan’ keadaan kami,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Badan Bertindak Peserta Felcra (Bapa) Perak, Ishak Saari menyokong tindakan peserta tampil mendedahkan isu yang berlaku.
Katanya, langkah itu penting bagi menegakkan keadilan dan menuntut hak yang sewajarnya diperoleh mereka.
“Saya percaya perkara seperti ini tidak berlaku di negeri ini sahaja, dalam apa juga keadaan pengurusan Felcra sepatutnya perlu lebih telus,” katanya.
0 comments:
Post a Comment