Dzulkifly Ibrahim
IPOH - Pakatan Rakyat (PR) bagi Parlimen Tambun dikatakan sedang bergolak berikutan peletakan jawatan Pengarah Pilihan Raya PR Parlimen itu, Muhammad Arafat Mahamad.

Muhammad Arafat yang dihubungi bagi mendapatkan penjelasan telah mengesahkan peletakan jawatan yang dibuat sejak dua bulan lalu.

Ditanya mengenai sebab peletakan jawatan, beliau enggan mengulas lanjut dan memaklumkan satu sidang media akan diadakan dalam masa terdekat bagi menjelaskan perkara itu.

“Saya tiada apa-apa masalah dengan parti mahupun mana-mana pihak. Saya akan jelas perkara ini kemudian.

“Biarpun saya telah letak jawatan, gerak kerja untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) tidak terganggu,” katanya kepada Sinar Harian, kelmarin.

Walaupun telah meletakkan jawatan yang disandangnya sejak 2008, Muhammad Arafat masih mengekalkan jawatan Naib Ketua PKR Cabang Tambun.

Berikutan perkara itu, khabar angin bertiup kencang mengatakan peletakan jawatan berkenaan disebabkan tuntutan Pas Kawasan Tambun untuk mendapatkan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Hulu Kinta.

Sementara itu, Ketua PKR Cabang Tambun, Dzulkifly Ibrahim ketika dihubungi menafikan PR dan PKR sedang bergolak.

“Saya rasa ini kerja-kerja provokasi bekas ahli PKR atau pihak lawan yang cuba melaga-lagakan PR di Parlimen Tambun.

“Mereka tahu yang kita semakin kuat dan mereka mula bimbang hubungan baik Pas dan PKR di Parlimen itu akan menjejaskan peluang mereka,” katanya.

Mengenai peletakan jawatan Muhammad Arafat sebagai Pengarah Pilihan Raya PR, beliau menganggapnya perkara biasa dalam politik kerana pemimpin itu mahu menumpukan kerja-kerja perniagaan.

Katanya, peletakan jawatan itu tidak wajar ditafsirkan sebagai krisis memandangkan ia bukan perkara besar yang boleh menjejaskan parti.

Beliau berkata, dakwaan bahawa peletakan jawatan itu disebabkan tuntutan Pas ke atas kerusi Dun Hulu Kinta tidak sepatutnya timbul memandang ia telah diputuskan.

“Soal kerusi memang tak timbul lagi sama ada di peringkat negeri atau peringkat pusat kerana telah diputuskan bahawa Dun Hulu Kinta milik PKR.

“Malah kerjasama Pas Kawasan Tambun juga amat baik bagi memastikan kemenangan di PR di Parlimen itu,” katanya. Sinar Harian