Tuesday, November 20, 2012

Adun bebas: Habis madu sepah dibuang


IPOH: Badan Perhubungan PAS Negeri Perak sudah menjangkakan akan berlaku pelbagai pergolakan di dalam komponen BN Perak di ambang PRU13 yang semakin hampir.

Ketua Penerangannya, Ustaz Nuri Al-Amin berkata, terkini adalah perkembangan kedudukan kerusi DUN Jelapang yang disandang oleh Dato’ Hee Yit Foong setelah 'melompat' parti dari DAP menjadi Adun Bebas pada tahun 2009.

Menurutnya, Hee yang telah menyuarakan hasratnya mempertahankan kerusi tersebut atas tiket BN atau MCA telah mendapat bantahan keras dari Datuk Seri Chua Soi Lek, Presiden MCA yang juga Pengerusi MCA Negeri Perak.

Kata beliau, pengumuman yang dibuat oleh Datuk Hee itu, samada telah mendapat restu Dato’ Seri Dr Zambry Abdul Kadir atau tidak, dengan segera mendapat maklumbalas Chua yang menafikan kedudukan kerusi Dun Jelapang yang sebelum ini ditandingi oleh MCA.
Namun kata beliau, sehingga kini Zambry masih membisu seribu bahasa.
“Persoalannya apakah kedudukan Datuk Hee pada PRU 13 nanti dan apakah pendirian Zambry sebagai Pengerusi BN Perak?

“Adakah juga Hee akan bertanding atas tiket Bebas pada PRU 13 nanti? Bagaimana pula tentang kerusi DUN Bebas yang lain di DUN Behrang, Changkat Jering dan Malim Nawar?,” soalnya kepada Perakite Daily.

Justeru, Beliau yang juga Timbalan Yang Dipertua PAS Batu Gajah berkata, PAS ingin mencabar Zambry menjelaskan kedudukan Adun-Adun Bebas tersebut yang menjadi 'faktor utama' dan 'kuasa ketiga' terhadap rampasan kuasa Negeri Perak yang dipilih rakyat.

“Kami ingin melihat samada Zambry akan menamakan mereka untuk bertanding atas tiket BN pada PRU13 nanti atau pun bertanding atas tiket Bebas bagi membuktikan mereka masih releven buat rakyat yang telah memilih mereka.

“Kami merasakan 'ujian besar' buat Datuk Seri Zambry sama ada 'menerima' atau 'menolak' ADUN-ADUN Bebas tersebut pada PRU 13 nanti!,” tegas beliau.

Advertise