Friday, November 30, 2012

Pampasan landasan keretapi lesap : Mana suara pemimpin Umno?


KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) kecewa kerana sehingga hari ini tidak kedengaran ucapan perwakilan Perhimpunan Agong Umno kali ini membangkitkan tentang nasib seramai 72,000 orang mangsa atau waris keluarga buruh paksa pembinaan landasan keretapi maut menghubungkan Nong Pladuk Kanchanaburi, Thailand ke Thanbyuzayat, Burma yang masih belum mendapat pampasan.
 
Naib Ketuanya, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss berkata, Pemuda PAS tertunggu-tunggu ucapan pimpinan Umno tentang nasib mereka ini.
 
Menurutnya, sepanjang tempoh 1942 hingga 1946 yang melibatkan rakyat Malaysia dan hampir 70 peratusnya adalah berbangsa Melayu masih belum mendapat pembelaan.
 
“Ini bermakna Umno yang dikatakan membawa slogan ‘Janji Ditepati’ perlu memastikan pampasan yang telah diberikan oleh Kerajaan Negara Jepun pada tahun 2004 perlu diberikan kepada mangsa ataupun waris keluarga yang terlibat.
 
“Kami mendesak Umno yang menjadikannya sebagai teras membela bangsa Melayu membawa isu besar ini yang masih tiada kesudahan jika benar-benar ingin mengotakan janji-janji mereka,” katanya kepada Harakahdaily hari ini.
 
Timbalan Ketua Pemuda PAS Perak itu menjelaskan, apa yang telah didedahkan oleh Ahli Parlimen Bukit Gantang, Dato’ Seri Ir Haji Nizar Jamaluddin di dalam Dewan Rakyat tempohari berkaitan sejumlah pampasan RM207 Bilion menjadi  persoalan sehingga kini yang masih tidak terjawab.
 
“Persoalan kami, dimanakah ‘wang darah’ yang telah diserahkan oleh Kerajaan Negera Jepun tersebut sebagai pampasan kepada semua mangsa dan juga waris keluarga mereka yang terlibat sebagai buruh paksa ketika itu?
 
“Kenapakah sehingga kini, Kerajaaan Malaysia tidak menjawab persoalan ini termasuk di dalam Dewan Rakyat sehingga kini?
 
Mengulas lanjut, Raja Iskandar berkata, Pemuda PAS mendesak mana-mana perwakilan Umno membangkitkan perkara ini kerana melibatkan 72,000 orang mangsa tersebut yang tinggal dari seluruh Negara.
 
Tegas beliau, jika tiada mana-mana perwakilan yang berani untuk membawa isu ini terbukti Umno tidak mampu membela rakyat yang tertindas dan juga gagal menepati janji-janji mereka selama ini yang telah lebih 55 tahun memerintah Negara kita.
 
“Kami sekali lagi mencabar perwakilan Umno untuk membangkitkan persoalan ini di dalam ucapan-ucapan mereka di dalam Perhimpunan Agong Umno kali ini!,” tegas beliau.

0 comments:

Advertise