Wednesday, October 24, 2012

PR Perak desak Soi Lek didakwa atas Akta Hasutan!



IPOH: Pakatan Rakyat Perak menggesa kerajaan yang diketuai Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak mendakwa Presiden  MCA, Dato’ Seri Chua Soi Lek atas Akta Hasutan kerana terus-menerus menghina agama Islam.

Setiausahanya, Dr Khairuddin Abdul Malik berkata, Chua Soi Lek jelas mengherdik agama Islam dan menceroboh masuk ke dalam urusan hal-ehwal agama Islam.

Kata beliau, perbuatan Chua Soi Lek sangat menyentuh sensitiviti umat Islam dan berpotensi menyebabkan ketegangan kaum dan agama.

“Pakatan Rakyat Perak cabar Umno mendakwa Chua Soi Lek atas akta Hasutan seperti pernah dilakukan kepada individu-individu tertentu sebelum ini,” katanya ketika membuat siding media di Pejabat PAS Perak, hari ini.

Hadir Sama ialah Adun Tronoh, V Sivakumar; Adun Canning, Wong Kah Woh; Ketua Penerangan PKR Perak, Ustaz Zulkifli Ibrahim dan pimpinan Pakatan Rakyat Perak.

Khairuddin berkata,  jika tindakan tersebut tidak dilakukan bermakna Umno bersekongkol dan bersetuju agama Islam dihina serta diherdik.

Mengulas lanjut, beliau berkata, tuduhan MCA yang mengatakan PAS mencipta hukum Hudud sendiri dan menuduh bahawa Hudud yang diperjuangkan PAS adalah bukan yang sebenar daripada Islam juga mempunyai maksud bahawa PAS berpegang dengan ajaran Islam yang salah.

Ini katanya bermaksud seolah-olah ahli-ahli PAS adalah pengamal ajaran Islam yang sesat.

“Siapakah MCA untuk menentukan mana satu ajaran Islam yang benar atau yang salah dan adakah dalam MCA ada ulama-ulama Islam yang mahir dalam hukum-hakam Islam?,” soal beliau.

Yang Dipertua PAS Tambun itu berkata, MCA tidak wajar mencari pengarah politik di kalangan orang Cina dengan menghina peraturan-peraturan Islam dan menghina PAS.

Tegas beliau, Pakatan Rakyat Perak mendesak Chu Soi Lek meminta maaf kepada seluruh penganut agama Islam atas keterlanjuran mereka dan jangan sekali-kali mengulang perbuatan jahat tersebut.

“UMNO dituntut lebih tegas mengawal tindakan MCA dan tidak sepatutnya membisu membiarkan serangan MCA terhadap Islam,” tegasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Pakatan Rakyat Perak yang diketuai Dato’ Seri Nizar Jamaluddin mencabar MCA mengadakan debat terbuka berhubung isu yang dimainkan.

“Kami akan menghantar surat jemputan kepada MCA Perak yang diketuai Chua Soi Lek selaku Pengerusi MCA Negeri untuk mengadakan debat terbuka yang bertajuk MCA Sokong Islam dan Hudud Tetapi Menentang Hudud PAS. Tajuk ini sesuai apa yang didakwa mereka,” jelas beliau.

Tambahnya, pihaknya juga akan mengahtar surat kepada Mufti Perak dan pihak Sultan yang juga Ketua Agama Negeri berhubung tindakan MCA tidak henti-henti menghina Islam.

0 comments:

Advertise