Wednesday, October 10, 2012

Kawal harga barang keperluan, bukan telefon bimbit - Anwar


GOPENG: Ketua Umum Keadilan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan sepatutnya mementingkan kawalan harga barangan keperluan harian berbanding telefon bimbit.

Ini berikutan keputusan kerajaan memberi rebat RM200 untuk membeli telefon pintar untuk generasi muda dalam pembentangan bajet 2013 baru-baru ini.

Menurutnya, Najib pada masa yang sama mengumumkan kenaikan harga gula yang menjadi keperluan harian rakyat dinegara ini.

Kenaikan tersebut katanya telah membebankan rakyat kerana ianya digunakan setiap hari.

“Kenaikan tersebut telah membebankan rakyat dan mengkayakan kroni yang kita tahu syarikat gula tersebut adalah milik orang mereka,” katanya ketika berucap dalam program Jelajah Merdeka Rakyat di Perak 7 Oktober lalu.

Lebih 1000 rakyat dari pelbagai kaum dan agama hadir ke program yang diadakan di Kg Sri Raia, Simpang Pulai, Gopeng itu.

Turut hadir ialah Ketua PKR Negeri, Dr Muhd Nur Manuty; Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussien; Ahli Parlimen Gopeng, Dr Lee Boon Chye dan pimpinan Pakatan Rakyat.

Menurutnya, bajet yang dibentangkan baru-baru ini telah menggambarkan kerajaan tidak tahu apa yang rakyat mahukan.

“Pemimpin BN tidak tahu apa yang rakyat mahukan kerana mereka duduk di atas kayangan yang serba mewah.

 “Bajet yang diumumkan ternyata tidak memahami naluri rakyat dan ianya hanya bajet gula-gula kerajaan dalam suasana pilihanraya umum semakin hampir,” jelasnya.

Ujar beliau, tidak ada gunanya jika hanya pandai dalam ekonomi sebaliknya tidak ada sifat untuk membantu serta mengurangkan beban rakyat.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu menjelaskan, beliau yakin dan optimis PRU13 akan diadakan pada tahun ini.

“Saya yakin pilihanraya akan diadakan tahun ini dan Insyaallah Pakatan Rakyat akan tawan Putrajaya,” tegasnya sambil menerima tepukan gemuruh daripada hadirin.

0 comments:

Advertise