Monday, October 15, 2012

Jangan harapkan petroleum sahaja!


Kerajaan BN seharusnya meneroka sumber pendapatan baru untuk meningkatkan pendapatan negara.

Bendahari Pemuda PAS Perak, Ustaz Fakhrulrazi Mokhtar berkata, kerajaan tidak lagi hanya bergantung kepada hasil bumi seperti petroleum sahaja.

Menurutnya, jika dilihat bajet yang dibentangkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini, Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan hampir RM230 bilion untuk dibelanjakan yang dibiayai oleh sumber hasil berjumlah RM190 bilion.

Beliau berkata, apabila berlakunya situasi kekurangan pendapatan untuk menampung perbelanjaan, kerajaan terpaksa mengambil pinjaman hutang pada kadar RM40 bilion untuk menampungnya.

Beliau yang juga Timbalan Pengarah Pilihanraya Pemuda PAS Malaysia berkata, kerajaan perlu bijak berbelanja secara mampan dalam keadaan negara terlalu bergantung kepada sumber berkaitan petroleum dalam situasi Petronas berhadapan dengan ketidaktentuan pasaran harga minyak dunia di samping rizab bekalan minyak di perairan Malaysia yang kian mencabar.

"Inilah pertimbangan dan kebijaksanaan yang perlu ada pada seorang Perdana Menteri yang kerajaannya berpendapatan RM200 bilion setahun dan bukannya hanya berbelanja seperti menabur dedak kepada ayam tanpa menghiraukan hutang yang semakin kronik," ujar beliau

Fakhrulrazi berkata, kerajaan haruslah memperkenalkan iklim cukai yang mesra rakyat dan mesra pelabur, mengkaji mekanisma agihan subsidi dan bantuan kebajikan yang lebih efektif, penyusunan semula agihan peruntukan kepada sektor produktif khususnya pendidikan dan kesihatan, serta menghentikan ketidakcekapan dan ketirisan dengan pelaksanaan sistem tender yang telus.

"Kerajaan tidak perlu asyik menabur gula-gula dalam situasi sekarang, saya yakin rakyat semakin bijak dan ketika ini mood rakyat memang mahukan perubahan," tegas beliau. 

0 comments:

Advertise