IPOH: Badan Perhubungan PAS Negeri Perak mengalu-alukan
kesudian Kerajaan Negeri Perak dengan kenyataan yang dibuat oleh Pengerusi
Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, ICT, Sumber Manusia, Sains dan
Teknologi Negeri Perak, Datuk Mohammad Zahir Khalid untuk memberikan penjelasan
berhubung pertikaian pengiktirafan program pengajian dan kesahihan
penandatangan pada sijil graduan dan transkrip Kolej Islam Darul Ridzuan
(Kisdar) melalui media massa baru-baru ini.
Koordinator Jawatankuasa Strategik dan Isu PAS Perak, Dr
Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss berkata, merujuk muka surat depan akhbar Sinar
Harian pada 13 Oktober yang lalu, Datuk Zahir jelas mempelawa mana-mana pihak
untuk bersemuka bagi mendapatkan penjelasan di atas beberapa persoalan yang
hangat diperkatakan.
“Kami bersedia untuk mengutarakan persoalan-persoalan dan mendapatkan
maklum balas serta kepastian timbulnya masalah tersebut,” katanya
Katanya, PAS Perak
menyambut ruang untuk mendapat penjelasan
terus daripada pihak yang bertanggungjawab termasuk Menteri Besar, Datuk Seri Dr
Zambry Abdul Kadir sendiri.
“Kami inginkan penjelasan berikutan timbul isu yang
diperkatakan dan kami sememangnya menunggu penjelasan yang ingin diberikan.
“Kami menyerahkan kepada pihak Kerajaan Negeri sama ada
melalui Datuk Seri Zambry ataupun Datuk Zahir bagi menetapkan tarikh yang
sesuai bagi maksud memberikan penjelasan tersebut,” jelas beliau.
Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia
itu menjelaskan, PAS Perak berharap Kerajaan Negeri benar-benar serius dan
ikhlas untuk memberikan penjelasan dan bukannya mempolitikkan isu pendidikan
ini semata-mata.
“Jika pihak Kerajaan Negeri enggan atau memberikan
pelbagai alasan bagi kami untuk mendapatkan penjelasan bermakna ada perkara
yang ingin disembunyikan oleh Kerajaan Negeri daripada pengetahuan umum.
“Kami serius untuk mengadakan pertemuan bagi merungkai
persoalan-persoalan yang menjadi tanda tanya penuntut dan Ibubapa pelajar Kisdar,”
tegas beliau.
0 comments:
Post a Comment