Wednesday, October 17, 2012

AES jadi ‘lubuk’ duit kerajaan


IPOH:  Kerajaan BN dilihat menggunakan sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) untuk meraih keuntungan.

Bendahari Dewan Pemuda PAS Perak, Ustaz Fakhrulrazi berkata, dalam suasana rakyat sedang asyik digula-gulakan dengan bajet yang dibentang oleh Dato’ Seri Najib baru baru ini, mereka tidak sedar kerajaan sedang mengambil kesempatan  menggunakan sistem canggih ini untuk kaut duit secara ‘haram’.

Menurutnya, jika dilihat keputusan percubaan dengan hanya menggunakan sebanyak 14 sistem canggih tersebut, dalam masa 10 hari kira-kira 65 000 gambar kesalahan jalanraya berjaya diambil.

“Bayangkan berapa keuntungan yang dapat diambil jika semua sistem tersebut beroperasi sepenuhnya,” katanya kepada Harakahdaily hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Pengarah Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) berkata, sistem ini juga dilihat memberikan kekayaan kroni projek tersebut yang akan mengambil beberapa peratus daripada keuntungan saman yang dikeluarkan.

“Jika satu saman sebanyak RM300, kira-kira RM16.00 akan diberikan kepada syarikat projek tersebut. Kita bayangkan berapa keuntungan dapat dikaut oleh mereka," kata beliau.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sistem ini jelas bukan berniat untuk mendidik, menjaga keselamatan rakyat , dan mengurangkan kes kemalangan sebaliknya menjadi ‘lubuk’ kerajaan mengumpul wang.

Ujarnya, sistem tersebut jelas menzalimi rakyat di negara ini yang masih terpinga-pinga tentang sistem jenoptik robot dari Jerman ini.

“Rakyat diberikan gula-gula seperti BR1M secara terang terangan dan dalam masa yang sama rakyat dirompak dalam situasi yang tidak disedari,” tegas beliau.

Fakhrulrazi berkata, sistem ini haruslah diteliti kembali dan perlu dibincangkan dengan mengambil kira cadangan serta idea daripada pelbagai pihak.

Kata beliau, kerajaan seolah-olah dalam keadaan tergesa-gesa untuk menguatkuasakan sistem ini.

“Kerajaan dilihat dalam keadaan terdesak untuk mengumpul dana dalam bagi menghadapi PRU13 yang semakin hampir.

“Kemungkinan juga kerajaan tidak cukup wang untuk merealisasikan gula-gula seperti BR1M yang telah dijanjikan,” jelas beliau lagi.

Dalam perkembagan berkaitan, Fakhrulrazi berkata, hasil daripada respon masyarakat, rata-rata tidak menyokong penguatkuasaan sistem ini termasuklah penyokong kerajaan.

Ini katanya jelas memberi isyarat kepada kerajaan agar mengambil keputusan menangguhkan operasinya mengkaji semula sistem ini yang dilihat tidak rasional dan membebankan.

"Rakyat boleh membezakan tawaran Pakatan Rakyat jika mendapat mandate untuk memerintah dengan menekankan kebajikan yang pastinya akan menghapuskan sistem yang menzalimi rakyat.

“BN mengambil kesempatan daripada rakyat dengan menjadikannya sebagai mangsa untuk menyesaikan masalah mereka,” jelas beliau lagi.

0 comments:

Advertise