IPOH: PAS Perak menerusi Jawantankuasa Strategik dan Isu
mendedahkan kepincangan yang kritikal mengenai pengurusan Kolej Islam Darul
Ridzuan (KISDAR).
Jurucakapnya, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss berkata,
akibat berlakunya kepincangan itu,status sijil-sijil graduan dan transkrip kolej tersebut dikatakan diragui
dan dipertikaikan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
“Dikatakan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA)
mempertikaikan status sijil ini kerana berlakunya satu pengurusan yang telah
melanggar Warta Kerajaan Negeri,” katanya kepada Perakite Daily ketika membuat sidang media di
Pejabat PAS Perak, hari ini.
Menurutnya, punca utama permasalahan ini ialah kegelojohan
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Kadir yang tergesa-gesa membuat pindaan
keatas enakmen asal bermula pada tahun 2009 melalui 3 persidangan DUN Perak
ketika krisis peralihan kuasa berlaku.
Namun katanya, pindaan tersebut tidak pernah mendapat
persetujuan dua pertiga majoriti daripada perwakilan sehinggalah ke hari ini
dan dikatakan masih tidak mendapat perkenan Tuanku Sultan Perak.
Beliau yang juga Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
menjelaskan, dengan adanya beberapa enakmen iaitu Enakmen asal 2002, Enakmen
Pindaan 2009 dan Enakmen Pembubaran 2011 kepada enakmen asal KISDAR memperlihatkan
kegagalan dan konflik telah berlaku di KISDAR.
“Ianya menjadi satu rungutan, keresahan, kesangsian dan
menjadi satu tanda tanya kepada pelajar-pelajar kolej itu dan para ibubapa
mereka, apabila sijil-sijil kolej itu sekarang ini sudah diragui oleh Jabatan
Perkhidmatan Awam (JPA).
“Mengikut enakmen asal, setiap sijil perlu ditandatangani
oleh Rektor dan Ketua Pendaftar namun sejak peralihan kerajaan oleh BN pada
tahun 2009, penandatangan yang kedua iaitu Ketua Pendaftar telah ditukar kepada
Setiausaha Senat.
“Ini telah berlanggaran dengan enakmen asal sebagaimana
yang tertulis didalamnya bahawa perlu ditandatangani oleh Pendaftar Kolej,”
ujar beliau lagi.
Raja Ahmad Menjelaskan, apabila Enakmen Pindaan 2009 dan Enakmen
Pembubaran yang masing-masing belum lagi disahkan dan diwartakan, maka ini
bermaksud segala peraturan perlulah berasaskan kepada enakmen yang asal iaitu
enakmen 2000.
Ujar beliau, semua item-item sijil dan kewangan dan juga
perjalanan gerak kerja kolej mestilah mendapat kelulusan dan ditandatangani
oleh Ketua Pendaftar serta Rektor.
“Tetapi sekarang ini dilihat semua sijil-sijil dan
cek-cek ditandangani oleh Setiausaha Senat yang juga merupakan Timbalan Rektor,
Pentadbiran dan Kewangan.
“Ini bermakna pentadbiran KISDAR ini telah bertentangan
dengan enakmen asal dan secara umumnya melanggari perlembagaan negeri dimana Sultan
Perak sebagai Ketua Negeri,” tegas beliau.
Timbalan Ketua Pemuda PAS Perak itu berkata, dari segi
undang-undang yang ada, semua aktiviti yang dijalankan sejak 2009 hingga kini
adalah dianggap tidak sah.
Ini kerana katanya, Enakmen Pembubaran bagi memansuhkan
kewujudan KISDAR dan ditukarkan kepada kewujudan Kolej Universiti Sultan Azlan
Shah yang masih belum disahkan lagi namun ianya telah bergerak atas nama
tersebut.
Sekiranya perkara ini benar, ianya amat memalukan kerana iIni
merupakan satu kesalahan yang sangat besar dan memalukan kerana sebuah badan
berkanun dibawah kerajaan Negeri Perak, tidak mematuhi peraturan enakmen
kerajaan sendiri.,” jelasnya lagi.
0 comments:
Post a Comment