Thursday, September 20, 2012

Filem Hina Nabi: Keganasan boleh tercetus


IPOH: Dewan Muslimat PAS Negeri Perak mengutuk sekeras-kerasnya penerbitan filem ‘Innocence of Muslims’ yang secara terang-terangan menghina Islam dan Rasulullah SAW.
 
Ketuanya, Dr  Najihatussolehah Ahmad (gambar kanan) berkata, filem ini bukan sekadar menyinggung perasaan umat Islam malah boleh dijadikan alasan untuk menimbulkan lebih banyak keganasan oleh pihak pelampau.
 
Menurutnya, filem ini secara terang-terangan menghina Nabi Muhammad dengan menggambarkan Rasulullah SAW sebagai seorang yang ‘gila perempuan, penipu dan orang gila’.
 
Jelasnya, dalam trailer filem tersebut juga turut menghina al–Quran dan para sahabat Nabi.

“Amerika Syarikat perlu bertindak ke atas individu yang bertanggungjawab menghasilkan filem yang jijik dan keji itu, dan menunjukkan bahawa kebebasan bersuara tidak boleh disalahguna untuk jenayah kebencian,” katanya ketika dihubungi.
 
Jelas Najihah, filem ini adalah produk dari perancangan untuk menyinggung sensitiviti umat Islam dan mencetuskan kekacauan.
 
Ianya juga katanya akan akan menyemai persengketaan antara agama.
 
“Justeru, ia harus ditarik balik dan dikutuk dengan tegas oleh pemimpin-pemimpin politik, NGO dan mana-mana persatuan sama ada di Malaysia mahupun di luar negara.
 
“Kami turut bersetuju dengan saranan Dewan Pemuda Pas Malaysia supaya kerajaan Malaysia memberikan tekanan kepada kerajaan Amerika agar mengambil tindakan terhadap pengarah filem tersebut kerana secara jelas filem tersebut menyemai perasaan benci dan takut terhadap agama Islam dan orang Islam,” tegas beliau.

0 comments:

Advertise