BATU GAJAH – Seorang buruh ladang dikhuatiri lemas setelah dilaporkan hilang ketika memancing di sebuah lombong ternakan itik di Kampung Pisang di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 6 petang, mangsa, M Tasan, 28, gagal dihubungi oleh tiga rakannya ketika berkumpul semula untuk pulang ke rumah mereka di Ladang Serapoh, Parit.
Rakan mangsa, M Jeyakumar, 27, berkata, dia dan rakan lain gagal menjumpai mangsa di sekitar lombong serta kawasan berhampiran sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Batu Gajah pada jam 10.04 malam.
“Kami memancing di empat lokasi berbeza di lombong ini sebelum berjanji berkumpul semula pada waktu yang ditetapkan.
“Ketika berkumpul itulah kami menyedari mangsa telah hilang. Laporan dibuat kerana takut dia mungkin lemas ketika memancing,” katanya di sini, semalam.
Dalam pada itu, operasi mencari dan menyelamat mangsa melibatkan lebih 30 anggota polis, pasukan Bomba dan Penyelamat serta Ikatan Relawan Rakyat (Rela) yang membantu mencari di sekitar kawasan itu.
Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Gajah, Halid Md Zin berkata, gerakan mencari dan menyelamat mangsa dilakukan bermula jam 11 malam dan dibantu oleh 11 anggota termasuk empat anggota unit skuba Ipoh.
“Gerakan bermula pada jam 11 malam dengan melakukan tinjauan di sekeliling lombong dan pagi ini (semalam) diteruskan dengan menggunakan bot untuk mencari mangsa.
“Unit Skuba diperlukan untuk mencari di dasar lombong dan setakat jam 5 petang, mangsa masih belum ditemui dan gerakan dihentikan serta akan disambung esok (hari ini),” katanya.SINAR HARIAN
0 comments:
Post a Comment