Saturday, August 25, 2012

Teruskan tradisi rai anak perantau

PARIT BUNTAR: Bersempena menyambut Aidilfitri tahun ini, PAS Kawasan Parit Buntar telah menganjurkan Himpunan Aidilfitri Anak Perantau 21 Ogos lalu.

Program yang dijalankan sejak 10 tahun lalu ini bertujuan untuk mengumpul serta meraikan anak-anak perantauan yang pulang ke kampung halaman.

Himpunan yang telah diadakan di Dewan Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Tusin, Titi Serong Parit Buntar itu telah berjaya mengumpul ratusan anak perantauan khususnya daripada ibu kota.

Program tersebut telah dirasmikan oleh Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussien.

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, Koordinator Jawatankuasa Strategik dan Isu PAS Perak, Salman Saleh dan pimpinan PAS negeri dan kawasan.

Abu Bakar dalam ucapan perasmiannya berkata, program ini sangat baik untuk mengumpul anak-anak rantau yang komited untuk berbakti kepada PAS Perak.

Beliau berkata, PAS negeri sentiasa mengharapkan bantuan serta sokongan daripada anak perantaun.

“Walaupun di luar kawasan, anak perantauan haruslah bersama-sama membantu perjuangan PAS dengan apa cara sekali pun sama ada wang ringgit, tenaga mahupun idea,” jelasnya.

Justeru, beliau menyeru kepada anak-anak perantau agar pulang ke kampung halangan pada PRU13 yang akan datang.

“Anda semua kemungkinan menjadi penentu kemenangan PAS dan Pakatan Rakyat bagi kita mendapat kembali mandat memerintah Perak dan menawan Putrajaya,” jelasnya.

Sementara itu, Salman Saleh mengharapkan pemuda-pemuda di perantau untuk berbakti kepada perjuangan PAS dalam suasana pilihanraya yang semakin hampir.

Menurutnya, pemuda adalah tulang belakang kepada perjuangan Islam yang didokong oleh PAS dan sudah pasti sumbangan mereka amat diperlukan PAS dalam menggerakkan kerja dakwah dan pilihanraya.

Setiausaha Jabatan Pilihanraya PAS Negeri menyeru kepada yang hadir untuk mencari identiti serta maklumat pengundi luar Perak yang masuk belum dikenalpasti.

“Rayulah mereka agar pulang mengundi di Perak pada PRU13 kerana setiap undi mereka sangat penting bagi kita menjatuhkan BN seterusnya menubuhkan kerajaan baru yang lebih berintegriti,” tegasnya.

0 comments:

Advertise