Perak sedang mengintai beberapa pemain dari negeri lain dalam usaha memperbaiki kepincangan benteng pertahanannya menjelang saingan Piala Malaysia pada bulan September akan datang.
Benteng pertahanan semakin goyah apabila peneraju utamanya, Mohd Khairi Zainuddin mungkin direhat sehingga akhir saingan Piala Malaysia kerana kecederaan lututnya.
Difahamkan, Khairi sudah menjalani pembedahan kecil pada lututnya minggu lalu menyebabkan beliau terpaksa menggunakan tongkat apabila berjalan.
Perak masih mempunyai beberapa pemain pertahanan yang lain seperti K. Nanthakumar, Mohd Hisyamudin Shaari, Mohd Syazwan Mohd Roslan, Mohd Shahrom Abdul Kalam dan pemain-pemain lain.
Walaupun Perak mampu menjaringkan 40 gol dalam 26 perlawanan Liga Super yang lalu tetapi pintu golnya bolos sebanyak 43 gol.
Jumlah tersebut berada di tangga ketiga paling banyak pintu gol dibolosi yang mana Kuala Lumpur berada di tangga teratas berjumlah 53 gol dan diikuti oleh Sabah 52 gol.
Catatan tersebut seolah-olah menggambarkan benteng pertahanan Perak perlu diperkemaskan segera supaya lebih mantap dalam saingan Piala Malaysia nanti.
Pengurus Pasukan, Khairul Azwan Harun mengakui kepincangan benteng pertahanan Perak yang memerlukan pembaikan segera oleh jurulatih, Jang Jung.
Pengurus Pasukan itu telah berbincang dengan Jang Jung mengenai kepincangan tersebut dan sedang memikirkan beberapa cara mengatasinya.
Salah satu cara mengatasinya dengan meminjam pemain-pemain dari pasukan lain yang gagal ke saingan Piala Malaysia.
“Kami telah kenalpasti beberapa pemain untuk dipinjam bagi saingan Piala Malaysia nanti,” jelas Azwan.
Namun begitu, beliau enggan menyatakan nama-nama pemain berkenaan dan pasukan yang diwakilinya.
Azwan berkata, Perak perlu benteng pertahanan yang mantap dan jitu jika mahu layak ke puisngan separuh akhir piala yang berprestij itu.
Artikel asal di PerakNews.
0 comments:
Post a Comment