Thursday, May 3, 2012

Negara tidak akan muflis jika Pakatan Rakyat memerintah


IPOH: Tuduhan negara bakal muflis sekiranya Pakatan Rakyat memegang tampuk pemerintahan, dan menunaikan janji-janji mereka adalah satu tuduhan jahat dan langsung tidak berfakta.

Demikian tegas Pesuruhjaya PAS Perak dalam satu kenyataan kepada Perakite Daily semalam.

Menurutnya, BN perlu faham bahawa perkara yang menyumbang kepada negara muflis adalah disebabkan pembaziran melampau, pengurusan tidak telus dan subsidi yang terlalu besar kepada kroni mereka.

“BN sepatutnya mengambil iktibar daripada cara pemerintahan di negeri Pakatan Rakyat,” tegasnya.

Katanya,pengurusan di negeri Pakatan Rakyat lebih telus, berhemat, tiada ketirisan dan ianya memberi kebaikan kepada rakyat.

“Di Selangor, agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) seperti Skim Mesra Usia Emas (SMUE), Tawas dan sebagainnya yang dilaksanakan untuk rakyat tidak menjadikan negeri itu muflis.

“Di Kedah pula, kerajaan Pakatan Rakyat Kedah menurunkan cukai tanah dan dapat meningkatkan hasil balak daripada pentadbiran yang telus.

Tegasnya, janji yang ditawarkan Pakatan, antaranya gaji minima RM1,500 sebulan dan pemansuhan Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), tidak akan merugikan negara.

“Sekiranya kerajaan berupaya membersihkan amalan rasuah dan kronisme yang diamalkan dalam pentadbiran negara, maka ekonomi dapat berkembang dengan baik, sekaligus menjadi jaminan untuk mengelakkan negara muflis,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Abu Bakar menjelaskan, keadaan ekonomi negara yang merudum juga menunjukkan bahawa kerajaan sekarang kurang berdaya saing dengan negara luar sehingga mengakibatkan kos pentadbiran semakin tinggi.

“Dari segi itu sudah cukup untuk menunjukkan bahawa mereka bukanlah pemerintah yang baik.

“Jadi, rakyat sudah cukup jelas bahawa kerajaan sekarang perlu digantikan supaya Pakatan dapat tunjukkan satu formula dan pendekatan lebih baik, murah, kompetetif untuk mengurus tadbir negara,” ujarnya.

0 comments:

Advertise