Wednesday, January 15, 2014

Lubok Merbau: Hakim larang peguam wakili pempetisyen

Mahkamah Pilihan Raya pada 8 Januari lalu memutuskan peguam pempetisyen dilarang daripada mewakili pempetisyen di dalam kes petisyen pilihan raya Dun Lubok Merbau dengan alasan tidak mematuhi peruntukan di bawah Kaedah 9 dan 34 Kaedah-Kaedah Petisyen Pilihanraya 1954.

Hakim, Abdul Rahman Sebli memerintahkannya selepas peguam responden diberikan kebenaran oleh mahkamah untuk membangkitkan semula bantahan awal yang pernah dibangkitkan pada perbicaraan sebelum ini.

"Apa yang kami faham, Mahkamah Persekutuan mengarahkan agar kes ini untuk dibicarakan semula.

"Sepatutnya tidak ada lagi bantahan awal boleh dibangkitkan memandangkan perkara tersebut telah dibuat sebelum ini oleh mereka dan kami telah pun membuat rayuan kepada perkara itu", kata Mohd Fitri Asmuni, salah seorang peguam yang mewakili pempetisyen ketika ditemui Harakah di lobi Mahkamah Tinggi Ipoh.

Sebelum perintah tersebut dikeluarkan, peguam pempetisyen, Chan Kok Keong telah menyatakan bahawa, sekalipun mahkamah telah membenarkan bantahan awal dibangkitkan semula, peguam responden hanya boleh membangkitkan persoalan-persoalan baru sahaja di dalam bantahan awal mereka.

Manakala persoalan yang telah dibangkitkan pada perbicaraan duhulu tidak boleh lagi dibangkitkan kembali oleh kerana perkara tersebut telah pun diputuskan oleh mahkamah persekutuan yang membenarkan rayuan pempetisyen.

Namun, mahkamah memutuskan bahawa perintah asal berkenaan dengan ketidakpatuhan peguam pempetisyen terhadap kaedah 9 dan 34 tersebut masih kekal kerana mahkamah persekutuan tidak pernah membuat keputusan ke atas isu tersebut sebaliknya keputusan tersebut menyentuh isu-isu lain.

Mahkamah juga memutuskan agar perbicaraan kes terus dijalankan walaupun pempetisyen tidak boleh lagi diwakili oleh peguam.

"Jadi, apa yg boleh dibuat sekarang ialah pempetisyen terpaksa mewakili dirinya sendiri di mahkamah dan kami akan terus cuba membantu beliau sedaya mungkin sehingga perbicaraan kes ini selesai," kata Mohd Fitri lagi.

Pada hari ketua perbicaraan, peguam hanya duduk di luar kamar iaitu tempat duduk pemerhati melihat pempetisyen mempertahankan diri sendiri berhadapan dengan barisan peguam mewakili pihak responden.

Ridzuan dengan tegas mempertahankan dirinya dan terus mendesak agar hakim yang mengadili perbicaraan tersebut ditukar.

Hakim seterusnya menangguhkan perbicaraan di hari ketiga dan akan bersambung pada 16 Januari ini.

Sebelum ini, Mohd Ridzuan Asit telah memfailkan petisyen pilihan raya Dun Lubok Merbau terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri, Dato' Siti Salmah Mat Jusak dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selepas calon PAS, Mohd Zainudin Mohd Yusof kalah dengan majoriti tipis 53 undi.

Walaubagaimanapun, dalam perbicaraan sebelum ini, mahkamah tersebut telah menolak petisyen yang difailkan oleh pempetisyen dengan kos.

Melalui rayuan yang dibuat selepasnya, Mahkamah Persekutuan telah membenarkan rayuan petisyen itu dan memerintahkan agar kes ini dibicarakan semula.

2 comments:

Advertise