Thursday, December 12, 2013

Perakite Prihatin hantar bantuan bernilai RM30,000 ke Kemaman



KEMAMAN: Skuad Perakite Prihatin 9 Disember lalu telah menghantar bantuan bernilai RM30,000 ke Kemaman dalam misi kemanusiaan membantu mangsa banjir di kawasan ini.

Misi tersebut menggabungkan pelbagai pihak termasuklah badan bukan kerajaan (NGO) seperti Yayasan Amal Malaysia Cawangan Perak dan parti politik.

Ianya turut disertai oleh AJK PAS Pusat, Asmuni Awi, Ketua Pemuda PAS Perak, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss, Exco Pemuda PAS Perak, Ustaz Fakhrulrazi Mokhtar dan pendakwah bebas, Ustaz Tarmizi Abdul Rahman.

Koordinatornya, Salman Saleh berkata, pihaknya mendapat bantuan daripada pelbagai pihak yang menyalurkan sumbangan berupa wang tunai dan keperluan lain seperti beras, gula, lampin bayi, tuala, roti, tikar dan sebagainya.

Menurutnya, pihaknya berjaya mengumpul sumbangan-sumbangan tersebut kurang daripada seminggu.

"Ramai yang prihatin terhadap mangsa banjir dan mereka bermurah hati menyalurkan pelbagai jenis sumbangan," katanya ketika ditemui Harakahdaily yang bersama-sama dalam misi tersebut.

Salman menjelaskan, daripada sumbangan berbentuk wang, pihaknya telah membeli barangan keperluan mengikut kehendak serta kesesuaian mangsa banjir.

Dalam perkembangan berkaitan, Skuad Perakite Prihatin telah menghantar bantuan tersebut ke bilik operasi induk PAS Kemaman.

Skuad itu juga turut bersama-sama membungkus sebelum diagihkan bantuan tersebut kepada mangsa-mangsa banjir.

"Semoga sedikit usaha daripada kami ini dapat mengurangkan beban mangsa, kami sangat simpati terhadap ujian yang mereka terima ini," jelasnya lagi.


Raja Iskandar menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir.

2 comments:

Advertise