Tuesday, July 16, 2013

Semakin ramai anak muda Parit Buntar sertai PAS

PARIT BUNTAR : Kemenangan PAS di Parlimen Parit Buntar dan Dun Titi Serong melahirkan sinar baru kepada parti itu dengan sambutan awal yang amat menggalakkan dari kalangan anak muda.

Yang terbaru ialah kemasukan 20 orang anak muda ke dalam parti itu dalam majlis penubuhan Jawatankuasa Pemuda Cawangan Parit Telok Pial baru-baru ini.

Borang permohonan keahlian anak muda itu diserahkan oleh wakilnya kepada Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain.

Ustaz Abu Bakar yang juga Adun Titi Serong berkata, penyertaan golongan muda itu akan menambahkan semangat dan keyakinan PAS cawangan untuk bergerak aktif.

“Bersyukur kepada Allah di atas penyertaan golongan muda yang memberangsangkan ini, saya mengalu-alukan mereka kerana PAS tidak sekali-kali menutup pintu atau menghalang sesiapa sahaja yang mahu berjuang bersama-sama PAS.

“Kemasukan ramai ahli baru ini juga menandakan pertambahan sokongan orang Melayu kepada PAS di kawasan Parit Buntar," katanya ketika ditemui Harakah.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Yang Dipertua PAS Parit Buntar, UstazHarun Hashim dan Timbalannya, Abdul Bahrain Desa.

Sementara itu, Penolong Setiausaha PAS Parit Buntar, Adnan Abdul Rahman memberitahu, kemasukan ahli baru PAS terutama anak muda di Parit Buntar mencatatkan peningkatan memberangsangkan sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

“Bagi bulan Mei dan Jun sahaja sebanyak 110 borang ahli baru telah dihantar ke Pejabat Agung PAS Pusat dan 80 peratus daripadanya terdiri daripada anak muda yang berada di Parit Buntar.

“Kemasukan ahli baru ini semakin bertambah setiap bulan sejak selepas pilihanraya ke 13 lalu dan kami jangkakan akan lebih ramai lagi anak muda akan menyertai PAS” katanya," jelasnya.

Beliau berkata, Lajnah Pemerkasaan Parti PAS Parit Buntar akan  meneruskan kempen 'Jom Sertai Pas' bagi menarik lebih ramai orang ramai menyertai PAS.

Kempen ini katanya sebagai langkah pro aktif PAS untuk mengajak masyarakat mendekati dan menyertai PAS sebagai sebuah parti Islam yang memperjuangkan kepentingan semua rakyat dengan adil dan saksama.

Jelasnya lagi, Kempen 'Jom Sertai Pas' ini turut mengalakkan golongan muda agar mendaftar sebagai pemilih agar mereka dapat mengundi dalam pilihanraya yang akan datang.

Advertise