Thursday, June 27, 2013

PRK Kuala Besut: PAS Perak bersedia hantar jentera

IPOH: PAS Perak akan menghantar jentera semaksima mungkin bagi membantu gerak kerja Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut yang akan diadakan kelak.

Ketua Penerangannya, Dr Ahmad Nuri Al-Amin berkata, PAS Perak akan memastikan tenaga kerja dan sumbangan yang secukupnya untuk disalurkan selepas diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“PAS Negeri Perak pertamanya mengambil kesempatan merakamkan ucapan takziah kepada BN Terengganu di atas kembalinya kerahmatullah Adun Kuala Besut, Allahyarham Dr Abdul Rahman Mokhtar. 

“Pemergian Allahyarham ini telah membuka ruang kepada satu PRK yang pertama selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) bakal diadakan dalam tempoh terdekat,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan pilihanraya kecil ini sangat penting kerana ianya secara tidak langsung memberi potensi besar mengubah kedudukan kerusi antara BN yang kini memiliki 17 kerusi Dun dan Pakatan Rakyat mendapat 15 kerusi.

Tegasnya, PAS Perak akan menghantar anggota mengikut kepakaran yang ada di seluruh PAS Kawasan akan digerakkan bagi membantu PAS Terenggganu. 

“Malah, kami turut akan memberikan sumbangan bagi meringankan beban bagi menanggung kos PRK Kuala Besut. 

“Kami yakin usaha untuk memenangi kerusi DUN Kuala Besut akan berlaku keajaiban dan akan membantu Pakatan Rakyat di negeri itu pada PRK pertama pasca PRU 13 ini,” jelasnya lagi.


0 comments:

Advertise