Monday, May 13, 2013

YB Titi Serong ikrar bangkit isu hospital


Adun Titi Serong merangkap Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain berjanji akan membangkitkan agenda pembinaan Hospital Daerah Kerian sebagai isu utama dalam sidang Dun Perak kelak.

Abu Bakar berkata, isu pembinaan hospital berkenaan bakal diperjuangkan olehnya secara total berikutan ia menjadi salah satu 'gula-gula, pilhan raya yang dijanjikan Barisan Nasional (BN) untuk memancing undi rakyat di Daerah Kerian.

Menurutnya, agenda itu turut dimuatkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam aku janji tambahan BN semasa lawatan kerja beliau ke Parlimen Bagan Serai yang turut menjanjikan bilangan 200 katil berbanding 150 katil sebelum itu.

"Ia dijanjikan atas alasan menampung keperluan rakyat Kerian yang semakin bertambah. Bagaimanapun ia mengundang kekeliruan dalam kalangan rakyat mengenai jumlah sebenar katil yang diperuntukkan memandangkan angka berbeza diberikan pemimpin BN setiap masa.

"Lebih menyedihkan adalah status pakar yang ditekankan Najib sewaktu meluluskan pembinaan hospital pada awal 2012 juga semakin kabur. Tidak tahu ia akan dikekalkan atau tidak," katanya.

Sehubungan itu beliau dan rakan-rakan Adun Pakatan Rakyat (PR) dari kawasan Parlimen Kerian akan memastikan kekeliruan rakyat akan dijelaskan oleh kerjaan dalam sidang Dun Perak nanti.

Abu Bakar turut menyifatkan aku janji tambakan itu sebagai gimik pilihan raya, namun tidak cukup untuk mengubat kekecewaan rakyat kerana pembinaan Hospital Daerah Kerian belum dijalankan hingga kini.

"Saya juga berazam menerap sifat cintakan ilmu kebajikan dalam kalangan rakyat di samping memberi fokus kepada pembangunan sosial, modal insan dan keharmonian sepanjang perkhidmatan saya di sini," katanya.

0 comments:

Advertise