IPOH: Pengerusi Lajnah Undang-Undang PAS Pusat, Asmuni Awi
menggesa semua jentera parti mengabaikan arahan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)
menurunkan billboard berkaitan kenyataan Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun
Musa Hitam.
Menurutnya, billboard yang memaparkan kenyataan Tun Musa
Hitam yang mengatakan bahawa “Negara tidak akan bangkrap jika Pakatan Rakyat
memerintah” itu tidak melanggar sebarang etika pilihanraya yang dikeluarkan
oleh SPR.
Jelas beliau, PAS persoalkan etika mana yang SPR gunakan
untuk menghalang PAS menaikkan billboard kenyataan Tun Musa Hitam tersebut.
Asmuni berkata, Peraturan 7.6 (a) Tata Etika Pilihanraya hanya
melarang pemasangan billboard yang mengandungi slogan, karikatur atau apa-apa bentuk penyampaian mesej yang berbentuk sindiran dan
mengejek sahaja.
“Tetapi apa yang dinyatakan oleh Tun Musa Hitam itu
merupakan satu kenyataan fakta. Kenyataan tersebut merupakan satu bentuk pengakuan
dan pengiktirafan beliau terhadap kebaikan tawaran-tawaran yang kita tawarkan
di dalam Manifesto Pakatan Rakyat”, jelas beliau.
“Kenyataan itu juga bukanlah satu kenyataan fitnah dan menyerang
serta tidak menyakitkan hati mana-mana pihak kerana kita tidak paparkan pun nama
UMNO dalam Billboard itu”, jelas beliau lagi.
Tegas Calon PAS Dun Manjoi itu, kenyataan Tun Musa Hitam itu
merupakan satu sangkalan terhadap dakwaan pemimpin-pemimpin tertinggi Umno-BN termasuk
Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyidin Yasin yang sebelum ini pernah
menyatakan bahawa sekiranya Pakatan Rakyat diberikan mandat untuk memerintah, negara
akan menjadi bangkrup.
Tambahnya lagi, SPR tidak mempunyai sebab untuk mengarahkan agar
Billboard tersebut dicabut kerana kenyataan yang dipaparkan tersebut merupakan
kenyataan ahli politik dan dibuat kepada awam.
“Tun Musa Hitam adalah seorang ahli politik dan merupakan
bekas Timbalan Perdana Menteri, maka kenyataannya itu boleh diambil oleh
mana-mana pihak.
Tegas Asmuni, kenyataan Tun Musa Hitam itu bukanlah
kenyataan yang dibuat secara tertutup tetapi dibuat dalam majlis umum yang
dihadiri oleh orang awam dan telah disebar luas termasuk oleh akhbar Sinar
Harian.
“Oleh itu, mana-mana pihak berhak untuk mengambil kenyataannya
itu terutamanya Pakatan Rakyat kerana ia merupakan satu pengiktirafan terhadap
Manifesto Pakatan Rakyat.
“Perkara seperti ini turut dilakukan oleh BN misalnya di
pilihanraya kecil Galas dan Bagan Pinang yang mana BN telah menggunakan secara
meluas gambar Najib menziarahi Tok Guru Nik Aziz di hospital sebagai bahan
kempen pilihanraya mereka di sana.
"Kita tidak boleh menghalang perbuatan mereka
itu kerana ia merupakan kejadian yang benar,” jelasnya lagi.
Oleh itu, beliau yang juga AJK PAS Pusat mempersoalkan di
bawah undang-undang dan peraturan mana pihak SPR mengarahkan agar billboard
tersebut perlu diturunkan.
“Saya tidak nampak satu pun undang-undang dan peraturan yang
memberi bidangkuasa kepada pihak SPR untuk mengeluarkan arahan tersebut.
"Kuasa yang
ada sekarang ini diberikan kepada pihak pemantau yang dibentuk oleh pihak SPR
yang anggotanya terdiri daripada wakil-wakil parti, pihak polis dan PBT,”
jelasnya lagi.
PAS katanya hairan kenapa pihak SPR boleh mengambil alih
tugas pasukan penguatkuasa tersebut sedangkan tiada sebarang undang-undang dan
peraturan yang membenarkannya.
3 comments:
Dengarlah kata-kata bakal pemimpin yang sanggup gadai kalimah Allah..
ye...pemimpin yang mengadaikan kalimah Allah...tak caya tanya KDN, Deris Jala dan Nazri Aziz...hehehe
Bawak SPR ke Mahkamah. Kalau betullah SPR adil tak kan banyak sangat komplin. I think kakitangan dlm SPR yg problem..Bos dia mungkin ok..na$pak ikhlas.
Post a Comment