Tuesday, April 16, 2013

Bukit Gantang: Ustaz Idris yakin pertahan kemenangan


IPOH: Calon PAS parlimen Bukit Gantang, Ustaz Idris Ahmad melahirkan keyakinan untuk mempertahankan kemenangan di parlimen itu.

Menurutnya, pengalaman bertanding di Dun Changkat Jering disamping pernah menggalas tugas sebagai Yang Dipertua PAS Kawasan itu selama dua penggal dari tahun 2001 hingga 2005 memberi telah kelebihan kepada beliau.

Anak Jati Bukit Gantang itu berkata, rekod baik ahli parlimen terdahulu iaitu Allahyarham Ustaz Roslan Shaharom sebelum diambil alih oleh Dato’ Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dalam perkhidmatannya kepada masyarakat ternyata menjadi penyumbang utama kekuatan sokongan rakyat kepada PAS.

“Saya hadir untuk meneruskan perkhidmatan baik delegasi bekas YB itu Allahyarham Ustaz Roslan Shaharom serta Dato’ Seri Nizar Jamaluddin itu sendiri,”  katanya di Majlis Pelancaran Manifesto Pakatan Rakyat Perak di Hotel Riverfront, Ipoh, dekat sini, semalam.

Anak kelahiran Sungai Petai itu berkata, kekuataan jentera disemua peringkat terutama Pemuda dan Muslimat sangat mantap dan mereka sudah melakukan gerak kerja sejak awal lagi.

“Saya bersama jentera kerap turun berjumpa masyarakat di semua peringkat umur dan kaum sejak awal lagi selepas diamanahkan oleh parti untuk bertanding di situ.

“Respon masyarakat dari pelbagai kaum khususnya orang Melayu dan kaum Tionghua sangat baik dan ini memberi petanda positif kepada PAS,” jelasnya lagi.

Katanya, peluang yang diberikan oleh kepimpinan untuk bertanding disambut baik dan beliau akan melaksanakan amanah itu dengan mempertahankan kemenangan di Bukit Gantang.

Pada pilihanraya 2008 lalu, calon PAS, Ustaz Roslan Shaharom membuat kejutan memberi kemenangan sulung PAS di parlimen itu apabila menewaskan calon BN, Abdul Azim Zabidi dengan majoriti 1566 undi.

Ustaz Roslan menghembuskan nafas yang terakhir pada 9 Februari 2009 dan PAS memberi amanah kepada Dato’ Seri Nizar Mohammad Jamaluddin bertanding di pilihanraya kecil.

Mohammad Nizar berjaya mempertahankan kememangan mengalahkan calon BN, Ismail Saffian dengan majoriti 2,789 undi.

0 comments:

Advertise