IPOH – Belumpun tiba tempoh penamaan calon, Pemuda Pas Perak mengambil
langkah berani dengan membuat pendedahan berhubung peletakan Timbalan
Pesuruhjaya Pas Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin sebagai calon
Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Mohamad Nizar yang sebelum ini menyatakan kesediaan melepaskan kerusi parlimen dan hanya akan bertanding untuk kerusi Dun, diisytiharkan sebagai calon Dun Changkat Jering.
Pengumuman itu dibuat oleh Timbalan Ketua Pemuda Pas Perak, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss pada satu ceramah Suara Anak Muda di Batu 6, Changkat Jering, Bukit Gantang, semalam.
Dalam ucapannya, Raja Ahmad memaklumkan, pencalonan itu dilihat tepat dalam usaha Pakatan Rakyat (PR) mempertahankan kemenangan setelah wakil rakyat sebelum ini mengisytiharkan diri sebagai calon bebas.
Menurutnya, personaliti Bekas Menteri Besar Perak yang dilihat sebagai ikon masyarakat itu mampu mengukuhkan kepercayaan pengundi yang selama ini menyokong Pakatan Rakyat (PR).
“Tindakan Adun sedia ada melompat parti tidak memberi kesan terhadap sokongan rakyat kepada PR.
“Jentera Majlis Tindakan Dun (MTD) khususnya di kalangan pemuda berada dalam keadaan cukup bersedia untuk menghadapi misi mempertahankan kerusi ini,” katanya.
Pada PRU 2008, Kapten (B) Mohd Osman Jailu yang mewakili PKR menang di Dun Changkat Jering, mengalahkan calon Barisan Nasiional (BN), Datuk Mat Isa Ismail dengan majoriti 1,102 undi.
Bagaimanapun, kejayaan merampas kerusi yang sebelum ini disandang BN, tidak kekal lama apabila pada 2009, Mohd Osman memilih menjadi calon bebas bersama tiga wakil rakyat lain.
Setiausaha Jabatan Pilihan Raya Pas Perak, Salman Saleh pula berkata, Nizar merupakan pilihan terbaik sebagai calon Pas untuk bertanding di Dun Changkat Jering setakat ini.
“Kami yakin beliau dapat menggalas tugas ini dengan baik dan diharap, pengumuman ini dapat mengembalikan beliau sebagai menteri besar,” katanya.
Pendedahan Pemuda Pas ini dianggap masih kabur berikutan tiada pengumuman rasmi berhubung peletakan calon dikeluarkan Majlis Pimpinan PR Negeri dan Pusat.
Bagaimanapun, kemungkinan itu ada kerana Pengerusi Pimpinan PKR Negeri, Dr Muhamad Nur Manuty ada menyatakan bahawa semua pembahagian kerusi PR sudah dimuktamadkan kecuali Dun Changkat Jering yang menjadi pertikaian antara PKR dan Pas.
0 comments:
Post a Comment