Wednesday, March 27, 2013

PAS Perak kesal dengan tindakan polis menghalang treler



IPOH: PAS Perak hari ini kesal dengan tindakan pihak polis yang menghalang treler Jelajah Negara Berkebajikan PAS daripada memasuki tempat ceramah di Tapak Pasar Malam Kemunting, Taiping semalam.

Koordinator Jawatankuasa Strategik dan Isu PAS Perak, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss berkata, tindakan pihak polis itu ternyata melanggar lunas demokrasi dalam Negara ini.

Menurutnya,  PAS kecewa kerana pihak polis tidak memberi alasan-alasan yang munasabah mengapa treler itu disekat.

“Selalunya program PAS dan Pakatan Rakyat diganggu oleh samseng-samseng tertentu dan pihak Umno namun kali ini dihalang oleh pihak polis itu sendiri,”katanya dalam sidang di Pejabat PAS Perak, dekat sini hari ini.
 
Hadir sama ialah jawatankuasanya, Salman Saleh, Ustaz Fakhrulrazi Mokhtar dan Safarizal Saleh.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Timbalan Ketua Pemuda PAS Perak menjelaskan, kejadian tersebut cukup berbeza berbanding jelajah di negeri lain yang berlangsung dengan aman tanpa sebarang provokasi termasuklah di Putrajaya baru-baru ini.

Beliau berkata, berdasarkan Akta Perhimpunan Aman yang baru dikuatkuasa, tugas PAS sebagai parti politik  adalah memaklumkan kepada pihak polis dan PAS Kawasan Taiping sudah berbuat demikian.

Ujarnya lagi, selepas treler tersebut dihalang, PAS mengambil keputusan untuk tidak membawa masuk treler ke lokasi tersebut  dan meneruskan perjalanan ke Changkat Jering.

“Program ceramah beralih ke kawasan berhampiran namun diserbu oleh FRU dan Polis beberapa jam kemudian.

“Kami juga dimaklumkan peserta dikir barat turut ditahan dan dibawa ke balai polis sebelum dibebaskan selepas itu,” jelasnya lagi.

Raja Iskandar berkata, pihaknya juga mendapat maklumat, ada pihak tertentu turut berusaha untuk merampas kunci treler dan juga kenderaan pacuan empat roda yang mengiring jelajah.

“Kami berharap kejadian tersebut tidak berulang di beberapa lokasi yang dijadualkan di Perak sehingga Jumaat ini,” jelas Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia itu.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, PAS Perak bersedia bertemu pihak polis bagi mendapatkan penjelasan tentang insiden sekatan yang dilakukan itu.


0 comments:

Advertise